KUALA LUMPUR – Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencetuskan spekulasi apabila dia memberi bayangan untuk melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada tahun ini atau tahun depan.
Menerusi satu rakaman video yang dipaparkan di laman JOHOR Southern Tigers, Tunku Ismail yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, selaku orang nombor satu badan induk itu, beliau tidak akan memegang jawatan itu terlalu lama dalam kepemimpinan persatuan itu.
“Saya ialah presiden yang akan cuba mencari duit untuk pasukan supaya dapat bertanding tanpa bebanan, betulkan struktur dan cuba buat yang terbaik untuk pasukan kebangsaan.
“Selepas itu saya mengharapkan ada satu presiden baharu, Superman jadi Presiden FAM kerana saya tidak lama (sebagai presiden).
“Saya akan lepaskan jawatan sebagai Presiden FAM mungkin pada 2018 atau 2019. Ia bergantung tetapi lebih cepat lebih baik,” katanya dalam video itu.
Tunku Ismail itu muncul dalam video itu menerusi temubual secara spontan dan santai mengenai kehidupan termasuk soalan azam sebagai Presiden FAM.
Tunku Ismail menerajui badan induk bola sepak negara itu apabila dilantik selaku Presiden FAM bagi penggal 2017-2021 pada Kongres Tahunan FAM, 25 Mac lalu selepas pencabarnya, Tan Sri Annuar Musa yang juga bekas presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), menarik diri.
Sekiranya Tunku Ismail serius untuk melepaskan jawatannya, sudah pasti ini memberi tamparan yang begitu besar kepada FAM serta bola sepak negara memandangkan ketika ini, tiada lagi calon yang dilihat layak untuk menggantikan tempat beliau.
Ditanya soalan apa yang beliau akan lakukan jika bertemu dengan para “haters, Tunku Ismail menjawab secara seloroh, beliau akan letak mereka dalam buaya dan sejauh mana “hater” boleh berenang atau berlari di atas air. – MalaysiaGazette
Comments are closed.