Keadaan tingkat tiga di pusat tahfiz yang musnah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette dilokasi tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Kes kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah yang dikatakan berpunca daripada tindakan dua remaja lelaki dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Siti Radziah Kamarudin mengikut Seksyen 177A Kanun Acara Jenayah semasa sebutan semula kes di Mahkamah Majistret sebentar tadi.

Terdahulu dua remaja berusia 16 tahun itu didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 mangsa antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September lalu di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Salah seorang tertuduh pula yang didakwa memasukkan dadah jenis ganja dalam badan dilepas tanpa dibebaskan oleh Majistret Zilfinaz Abbas.

Remaja tersebut didakwa memasukkan dua jenis dadah iaitu ganja dan syabu ke dalam badan di tandas pejabat D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini pada jam 11.35 pagi, 16 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaan Nordin Ismail dan Nurakmal Farhan Aziz manakala dua remaja itu diwakili peguam Haijan Omar dan Joanne Chua. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast