ENGLAND – Manchester United menerima lampu hijau dalam mendapatkan khidmat bintang bek kiri Napoli, Faouzi Ghoulam.
Laporan di Itali mendakwa kelab Serie A itu semakin menghampiri untuk memuktamadkan pembelian bintang pertahanan Benfica, Alejandro Grimaldo.
Napoli difahamkan semakin hampir untuk bersetuju yuran berjumlah £27 juta (RM147.7 juta).
Sejurus selepas selesai penghijrahan Grimaldo, Ghoulam, 26, akan dibenarkan berhijrah ke Old Trafford.
Bintang Antarabangsa Algeria itu telah dipantau rapat oleh pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester City.
Pep Guardiola tertarik dengan aksinya semasa pasukan itu bertandang ke Stadium Etihad untuk aksi Liga Juara-Juara Eropah peringkat kumpulan November lalu.
Namun, laporan mengatakan Theatre of Dreams bakal menjadi destinasi pilihan Ghoulam.
Ghoulam baru sahaja menandatangani kontrak bertempoh lima tahun di Stadio San Paolo Disember lalu.
Napoli menuntut yuran pelepasan berjumlah £54 juta (RM295 juta) yang dipersetujui bersama pemain itu dalam kontrak terbaharunya.
Musim ini Ashley Young merupakan pemain bek pertahanan kiri utama Jose Mourinho.
Manakala Luke Shaw, Daley Blind, Marcos Rojo dan Matteo Darmian juga boleh beraksi pada posisi itu.
Namun, Mourinho masih tidak berpuas hati dengan prestasi kesemua pemain itu dan meminta kelab membuka dana besar lebih £300 juta yang telah dibelanjakan awal musim ini.
Menurut Mourinho, pelaburan lebih kali ini membolehkan the Red Devils memperolehi pasukan yang sempurna untuk bersaing dengan Manchester City yang membeli bek pertahanan dengan nilai yang ditetapkan untuk seorang penyerang. – MalaysiaGazette