SEOUL – Pengendali perkhidmatan perkongsian kereta Korea Selatan, SoCar merancang melancarkan perniagaannya di Malaysia sebagai langkah permulaan mengembangkan perniagaan di luar negara.

SoCar merancang mewujudkan 120 zon dengan menggunakan 120 buah kenderaan di negara Asia Tenggara itu, katanya yang dipetik agensi berita, Yonhap.

Ahli yang mendaftar untuk menggunakan perkhidmatan tersebut boleh melihat kereta yang ditawarkan menerusi dalam talian.

Tidak seperti syarikat kereta sewa yang mana perkhidmatan yang ditawarkan mengikut hari, perkhidmatan perkongsian kereta itu menyewakan kereta mengikut jam, termasuk perlindungan insurans.

Malaysia menawarkan potensi pertumbuhan yang tinggi untuk industri tersebut berdasarkan negara itu mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi di pusat bandar, kata SoCar sambil menambah ia akan mempercepatkan kehadirannya di pasaran Asia Tenggara.

Di Korea Selatan, pengguna yang mendaftar dengan syarikat itu akan diberi kad yang membolehkan mereka meminjam kereta di Seoul dan bandar-bandar utama di negara itu.

Ahlinya juga boleh menempah kereta melalui aplikasi telefon bimbit dan menyesuaikan masa dan tempoh untuk menyewa kenderaan. – MalaysiaGazette