KUALA LUMPUR – Tiada sebarang petanda yang menunjukkan Malaysia bakal mengalami kebankrapan meskipun terdapat dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan hutang yang ditanggung negara ketika ini terlalu besar dan tidak terurus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, pertumbuhan ekonomi dan kedudukan kewangan setiap negara termasuk Malaysia sentiasa dipantau secara berkala oleh badan-badan penarafan antarabangsa oleh antaranya Moody’s, Fitch Ratings, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.
Jelasnya, setakat ini penarafan yang diberikan kepada Malaysia masih lagi A- dan tinjauan yang stabil.
“Ini bererti kita berada dalam kelompok negara A. Ada banyak lagi negara yang berada dalam kelompok B dan C yang mana keadaan mereka jauh lebih dahsyat daripada kita.
“Kalau hendak kata kita bankrap, tentulah kelompok B dan C akan bankrap lebih awal daripada A, betul tak?
“Jadi tidak ada tanda-tanda yang kita nak bankrap dan rizab kita jauh lebih besar daripada rizab semasa krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dahulu.
“Pada ketika itu, kita punya rizab lebih kurang AS$20 bilion. Sekarang sudah lebih AS$100 bilion, maknanya lima kali ganda daripada keadaan rizab ketika itu.
“Kenapa ketika itu tidak timbul cerita rakyat Malaysia nak bankrap?
“Patutnya pada masa itulah, (ketika itu) nilai mata wang kita merudum, banyak syarikat bankrap, kenapa tidak timbul?” soalnya ketika dalam temubual eksklusif theRakyat menerusi program Bicara Empat Mata di sini.
Tambah Najib yang juga Menteri Kewangan, dakwaan-dakwaan yang mengatakan Malaysia akan mengalami kebankrapan hanyalah mainan politik dan bukannya menggambarkan kedudukan kewangan negara yang sebenar.
Perkara tersebut pula timbul disebabkan oleh sabotaj oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab bagi menjatuhkan kerajaan dan menghilangkan keyakinan rakyat serta menimbulkan kebencian kepada kerajaan.
Apa yang lebih menyedihkan menurut beliau, sabotaj itu dilakukan oleh rakyat Malaysia sendiri.
Menyentuh mengenai nilai ringgit, Najib menjelaskan, kerajaan tidak melaksanakan tambatan ringgit seperti yang pernah dilakukan semasa krisis kewangan Asia 1997-1998 kerana tidak mahu para pelabur serta pasaran dunia hilang keyakinan kepada Malaysia.
Malaysia sebaliknya mengambil langkah mengukuhkan fundamental ekonomi yang mana kesannya akan nampak ketara pada jangka masa panjang.
“Ya memang tambatan ringgit berjaya pada waktu itu (semasa krisis kewangan Asia) tetapi kosnya sangat tinggi.
“Jadi, itu pun timbul persoalan sama ada langkah tersebut adalah wajar atau tidak dan boleh kita debat sama ada baik atau sebaliknya tetapi kita tidak boleh mengulangi perkara tersebut.
“Alhamdulillah, sebulan dua ini, kita sudah dapat melihat dasar kita memang ringgit semakin kukuh. Banyak yang kata ia akan terus meningkat lagi,” tambahnya.
Menurut Najib, di era media sosial ini, pendapat seseorang itu tidak semestinya sesuatu yang tepat dan perlu dilayan hanya sebagai pendapat individu.
Rakyat perlu memperhalusi setiap pendapat tersebut sama ada ianya jujur atau bermotifkan politik sebelum menerimanya.- theRakyat