KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Datuk Husam Musa mempersoalkan tindakan kepimpinan kerajaan Pas negeri itu yang suka berlindung di sebalik ‘dokumen sulit’.
Katanya, ketika beliau mendedahkan kepincangan berlaku dalam Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) baru-baru ini, seorang anggota Exco Kerajaan Negeri telah menggugut hendak membuat laporan polis atas alasan dokumen yang didedahkan itu sulit.
Sedangkan, katanya, beliau mendedahkan kepincangan itu berdasarkan Laporan Unit Audit Dalam, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
“Ketika saya mendedahkan wujudnya unsur penipuan maklumat atau penyalahgunaan dari tujuan asal dalam isu ‘karbon kredit’, saya juga diugut untuk diambil tindakan kerana mendedahkan dokumen sulit.
“Bahkan pengurus syarikat berkaitan juga menggugut hendak menyaman saya,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan dalam blog husammusa.com, hari ini.
Kata Husam, Exco berkenaan mendakwa dokumen yang didedahkan beliau pada forum anak Kelantan di sebuah hotel di Kota Bharu pada malam 28 Disember itu adalah ‘dokumen penting’.
Soal beliau, apa bezanya dalam etika berkerajaan antara kerajaan Islam Pas dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dikatakan sekular?
“Kenapa Pas tidak sanggup bersikap telus dalam masalah kemaslahatan negeri dan rakyat serta lebih suka berlindung di belakang ‘sulit’ dan ‘rahsia’?” soal beliau.
Beliau bagaimanapun, bangga kerana pendedahan dibuatnya pada forum itu, mendapat respon Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad.
Menurut Husam, dalam respon itu, Exco berkenaan dikatakan akan mengambil tindakan undang-undang ke atasnya kerana mendakwa kerajaan Pas Kelantan menamatkan kontrak syarikat pembinaan Lebuhraya Rakyat, sedangkan ianya adalah penyerahan kembali oleh syarikat.
“Exco itu juga membetulkan jumlah bayaran yang akan dibuat oleh kerajaan negeri kepada syarikat atas kerja yang dilaksanakan sebanyak RM50 juta, sedangkan saya menyebut ianya berjumlah RM56 juta,” katanya.
Jelas Husam, fakta beliau adalah berdasarkan dokumen tertentu dan kerana itu kerajaan negeri, demi melindungi sesuatu yang tidak baik, terpaksa secara terbuka menggugut untuk mengambil tindakan kepadanya atau pihak yang membocorkan dokumen berkenaan.
“Akhirnya, saya mendapat penghormatan atas ‘berdokumennya’ pendedahan saya. Sama ada rakyat Kelantan boleh menerima atau tidak tindakan Pas merahsiakan sesuatu yang buruk, terpulang kepada rakyat Kelantan tentukan dalam PRU nanti.
“Jika fakta saya salah, apa perlunya ugutan untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang memberikan dokumen kepada saya? Ini menunjukkan apa yang saya dedahkan adalah benar dan kerajaan Kelantan cemas dengannya,” kata Husam. – MalaysiaGazette