Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bersalaman bersama Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong pada Perhimpunan Teguh Bersama MCA- GERAKAN di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan ‘teguh’ dua parti komponen utama Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan Gerakan berjaya membuktikan kesepakatan serta keutuhan kerjasama demi rakyat, khususnya masyarakat Cina di negara ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sejak penubuhan komponen BN pada 1974, ini merupakan kali pertama dua parti gergasi itu berkongsi pentas dan pandangan demi kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut Tiong Lai yang juga merupakan Menteri Pengangkutan, beliau yakin dan sudah nampak sinar kemenangan besar khasnya pengundi Cina yang selama ini tertipu dengan agenda pembangkang terutamanya DAP.

“Hari ini merupakan hari paling bersejarah buat kami di MCA dan juga Gerakan kerana selama ini walaupun hidup sebumbung namun masyarakat umum di luar sering kali diberikan persepsi bahawa kami sering bersengketa. Hakikatnya, kami hanya memperjuangkan kepentingan rakyat sejak berpuluh-puluh tahun.

“Namun pembangkang terutamanya Red Bean Army (RBA) menggunakan peluang untuk terus menabur fitnah serta cerita tidak benar kononnya kami tidak berbuat apa-apa. Jangan lupa, kami juga yang telah menolak jawatan apabila kalah teruk pada PRU lepas.

“Namun kami diberikan peluang sekali lagi, malah kejayaan parti Gerakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan mengalahkan DAP telah memberikan harapan rakyat masih mempercayai dan memberi peluang kepada kita,” katanya.

Perhimpunan Teguh Bersama yang julung kali diadakan itu berlangsung di Dewan San Choon, Wisma MCA, Jalan Ampang di sini, dihadiri lebih 2,500 perwakilan dari kedua-dua parti.

Perhimpunan bermula jam 11 pagi dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, disusuli tayangan video yang memaparkan kejayaan kedua-dua parti sepanjang bersama dalam BN.

Jelas Tiong Lai, perhimpunan ‘Teguh’ ini akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan solidariti komponen BN tersebut dalam menghadapi PRU14.

“Walaupun wujud perbezaan dalam pelbagai personaliti dalam pakatan itu, namun hakikatnya apa dilakukan hari ini ialah untuk kebaikan selain memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.

“Di bawah kepimpinan Siew Keong, Gerakan telah menunjukkan semangat juang yang sangat tinggi dan komrad MCA akan melakukan yang terbaik dalam mengukuhkan solidariti dengan Gerakan. MCA, Gerakan, teguh bersama dan selamanya,” ujar Tiong Lai.

Dalam pada itu, Tiong Lai dalam ucapannya turut menyentuh usaha bersama MCA dan Gerakan dalam membantu memajukan masyarakat Cina di Malaysia.

Antara yang disentuh, termasuk inisiatif untuk peniaga dan penjaja, pendidikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan penyertaan usahawan Cina dalam inisiatif Satu Jajaran, Satu Laluan di China.

“Kita dahulukan rakyat sejak dulu dan selamanya. Ini bukan slogan semata-mata, sebaliknya usaha berterusan bagi memperjuangan kepentingan rakyat.

“Kami bukan sahaja siang malam bekerja demi rakyat dan untuk rakyat tetapi segala pengorbanan adalah untuk kesejahteraan mereka. Pembangkang seperti biasa hanya retorik dan mempergunakan segala usaha serta jasa kami untuk mendapatkan nama baik. Ibarat, ‘lebu punya susu, sapi dapat nama,” tegasnya.