KUALA LUMPUR – Tiada tolak ansur jika ada sebarang usaha yang cuba mengugat perpaduan agama di Malaysia, tegas
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Abdul Rahman memberi amaran ketika bahang pilihan raya umum semakin hampir, perpaduan antara agama harus dipelihara dan tidak dijadikan modal untuk mendapatkan sokongan politik semata-mata.
““Kita bimbang ada pembohongan itu yang akan memudaratkan rakyat dan negara. Saya tahu menjelang pilihan raya ini akan lebih banyak lagi cerita mengarut yang boleh memecahbelahkan rakyat pelbagai kaum dan agama di daerah ini.
“Saya harap apa pun yang kita pertaruhkan sama ada kuasa atau undi, jangan pecahkan perpaduan antara agama. Soal politik adalah hal lain tetapi kita tidak akan bertolak ansur jika ia berkaitan perpaduan antara agama,” beliau dipetik berkata.
Jelas Abdul Rahman, perbezaan ideologi boleh diselesaikan secara baik namun jika bergaduh dalam bab agama ia memerlukan satu masa yang panjang untuk diselesaikan dan ia bukan mudah untuk dilakukan.
“Jika perpecahan atau peperangan disebabkan ideologi, ia boleh diselesaikan tetapi jika sebab agama, sampai bila-bila tak selesai,” katanya lagi.
Abdul Rahman semalam menghadiri majlis makan malam Krismas dan Tahun Baharu 2018 di Kota Belud. – MalaysiaGazette