KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin tidak sempat bertanding dalam PRU-14 kerana ia mungkin diadakan lebih awal, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, tarikh pembebasan yang disebut-sebut oleh isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail adalah tarikh jangkaan pembebasan tersebut berlaku namun pihak kerajaan menghormati tempoh hukuman yang sudah tamat dijalani oleh seseorang individu.
“Tempoh sesuatu hukuman harus dihormati semua pihak dan pada hemat saya, tarikh disebut (dalam) sidang media itu tarikh yang dijangka,” beliau dipetik berkata hari ini.
Bagaimanapun, beliau memberi gambaran bahawa PRU-14 mungkin diadakan lebih awal dan Anwar tidak sempat untuk bertanding bagi menunaikan cita-citanya untuk menjadi perdana menteri.
“Jika hari besar itu (PRU-14) dibuat lebih awal, mungkin agak terlewat untuk menjadi tokoh penting negara,” katanya lagi.
Terdahulu, Ahmad Zahid melepaskan 2,300 peserta Larian Amal Antartika 2018 di Kompleks Media Kumpulan Karangkraf hari ini.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam berkata, suaminya akan dibebaskan pada 11 Jun ini selepas menjalani hukuman penjara lima tahun atas pertuduhan meliwat pembantunya. – MalaysiaGazette
Anwar akan dibebaskan 11 Jun ini