Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berucap pada Majlis Lawatan Rasmi Beliau ke Amanah Raya Berhad di Wisma Amanah Raya, Kuala Lumpur. foto 08 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Satu Jawatankuasa Khas dicadang ditubuhkan Amanah Raya bagi melakukan penambahbaikan terhadap beberapa akta yang digubal pada 1995, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina berkata, dengan penubuhan jawatankuasa tersebut proses untuk menggubal akta melibatkan pentadbiran pusaka, penulisan wasiat dan peramanahan akan lebih mudah dan boleh dibentangkan dalam sesi Parlimen Mac ini.

“Saya dimaklumkan pelbagai usaha telah dilakukan oleh Amanah Raya setiap tahun bagi memastikan rakyat Malaysia diberi pendedahan mengenai kepentingan pengurusan pusaka, wasiat dan amanah ini.

“Hasilnya jumlah pendaftaran wasiat meningkat dari tahun ke tahun dan ini menunjukkan bahawa kesedaran rakyat terhadap kepentingan Perancangan Pewarisan khususnya wasiat dan amanah adalah semakin tinggi.

“Saya menyarankan bahawa satu jawatankuasa khas ditubuhkan Amanah Raya yang melibatkan semua pihak-pihak yang berkepentingan terdiri daripada wakil-wakil pihak kerajaan dan swasta untuk meneliti dan mengkaji secara terperinci kesemua perkara-perkara yang dibangkitkan sebentar tadi khususnya berkenaan cadangan penambahbaikan Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 (Akta 532) yang tidak pernah dipinda sejak akta tersebut digubal pada tahun 1995,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Lawatan Rasmi ke Amanah Raya Berhad hari ini.

Baru-baru ini, Amanah Raya telah berkolaborasi dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam menawarkan alternatif kepada masyarakat untuk melantik Amanah Raya sebagai penama bagi memastikan pembahagian pusaka ahli KWSP dapat ditadbir secara efisyen.

Selain itu Amanah Raya turut telah bekerjasama dengan Persatuan Insuran Am Malaysia (PIAM) yang mana PIAM mencadangkan kepada mahkamah untuk melantik Amanah Raya bagi melindungi pampasan yang diberikan kepada waris bawah umur dan Orang Kelainan Upaya.

Azalina dalam masa yang sama turut berharap Pasukan Kajian yang telah ditubuhkan Perdana Menteri sebelum ini untuk mengkaji penubuhan Pusat Daftar Setempat Harta dan Tanggungan milik si mati 1Malaysia dapat memuktamadkan laporan tersebut dan diserahkan kepada beliau dalam masa terdekat.

Katanya, ia akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri tidak lama lagi. – MalaysiaGazette