KUALA LUMPUR – Zuraida Kamaruddin mengakui beliau sedih dan kecewa dengan pengumuman Pakatan Harapan (PH) menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua Wanita PKR itu berkata, meskipun telah berjuang hampir 20 tahun namun mereka dilihat tidak mampu untuk menamakan calon perdana menteri selain Dr Mahathir.
“Sedangkan kita menang di Selangor dan Pulau Pinang tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ketika itu,” katanya dipetik dari sebuah laman portal liberal.
Zuraida berkata, pengumuman PH itu tidak akan menghentikannya untuk bekerja lebih kuat bagi memenangi pilihan raya dan beliau turut mendoakan terdapat perkara baik akan berlaku.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau tidak mempunyai masalah peribadi dengan pengerusi PH itu.
Beliau turut mengulangi pendiriannya agar Dr Mahathir menjadi menteri kanan sekiranya PH memenangi PRU14.
Semalam PH mengesahkan Dr Mahathir dipilih sebagai calon perdana menteri, jika gabungan empat parti pembangkang itu memenangi PRU-14. – MalaysiaGazette