SPRM

PULAU PINANG – Sekumpulan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya hari ini menyerbu beberapa lokasi di negeri ini dipercayai bagi membantu siasatan berhubung projek terowong bawah laut yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Sumber SPRM mengesahkan, antara lokasi yang diserbu adalah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta Pejabat Tanah dan Galian di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.

Turut diserbu, katanya, Pejabat Jabatan Kerja Raya di Sungai Pinang dan pejabat syarikat pemaju Ewein-Zenith di Menara Boustead.

Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut didedahkan sumber berkenaan termasuk sama ada dokumen atau keterangan individu tertentu diambil ketika serbuan itu dilakukan.

Isnin lalu, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan membuat laporan dan menyerahkan bukti baharu di pejabat SPRM Putrajaya berhubung projek kontroversi terowong dasar laut di negeri ini bernilai RM15 bilion.

Menurut beliau, laporan itu ekoran pendedahan terbaharu yang mendakwa kerajaan negeri menganugerahkan projek tersebut kepada syarikat yang mempunyai modal di bawah paras ditetapkan.

Katanya, syarikat yang dianugerahkan projek terowong dasar laut itu didakwa memiliki modal bernilai 1,900 kali ganda lebih rendah daripada paras minimum ditetapkan JKR.

Selain itu, tambahnya, kebimbangan juga menjurus kepada kemampuan kewangan syarikat tersebut menyiapkan projek berkenaan yang kini tertangguh selama lebih tiga tahun tetapi sudah menerima bayaran fi daripada kerajaan negeri berjumlah RM220 juta.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast