KUALA LUMPUR – Pas Kelantan hanya sempat mengambil alih Wisma Tok Guru di Kampung Pendek, Salor dekat Kota Bharu dari Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan selama satu bulan 23 hari sahaja.
Ini kerana, bermula semalam, bangunan itu diserahkan semula bawah milik dan jagaan Pengerusi PAN Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa.
Pas terpaksa akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu itu, yang memutuskan untuk meluluskan permohonan Injunksi Erinford yang dimohon Husam ke atas pemilik tapak bangunan berkenaan, Yasin Mohd Yusuf.
Menurut Husam, sementara menunggu rayuan injunksi di Mahkamah Rayuan, kedudukan bangunan Wisma Tok Guru kekal atas status quo iaitu di bawah milik dan jagaannya.
“Alhamdulillah, Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini (semalam), meluluskan permohonan Injunksi Erinford yang saya pohon ke atas Yasin Mohd Yusuf.
“Amanah boleh terus menggunakan bangunan ini tanpa sebarang gangguan. Kami sebagai ‘yang teraniaya’ sangat bersyukur dengan keputusan ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Sebelum ini, Pas Kelantan menegaskan notis supaya Husam keluar dari premis Wisma Tok Guru sudah tamat pada 12 November lalu dan parti itu akan mengadakan majlis kesyukaran serta solat hajat sebagai meraikan kejayaan mendapatkan semula tanah itu.
Isu perebutan tanah itu bermula susulan tanah yang asalnya milik bekas ADUN Salor, Allahyarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim yang dinamakan isterinya sebagai pemilik telah dijual kepada Mohd Yasin yang juga Setiausaha Kerja Pas Kelantan pada harga RM700,000.
Menurut Husam, bagi meraikan kejayaan itu, pihaknya akan mengadakan jamuan rakyat sebagai tanda kesyukuran.
“Saya berdoa, kubu yang cuba ditawan ini akan terus berkibar dengan bendera Amanah dan Pakatan Harapan (PH) sehingga selesai PRU 14.
“Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih pada semua peguam termasuk YB Hanifa dan bekas-bekas hakim yang memberi tunjuk ajar dan khidmat guaman,” katanya. – MalaysiaGazette