KUALA LUMPUR – Selebriti, Erra Fazira menegaskan dia tidak ada kena mengena dengan ‘kehilangan’ Shahir AF yang pernah dikaitkan hubungan cinta dengannya.
Erra juga menafikan ‘kehilangan’ Shahir itu atas permintaannya.
“Ia tidak ada kena mengena dengan saya.Saya nasihat dia (Shahir) dan dia buat keputusan sendiri,” ujarnya pada sidang media mengumumkan syarikat pengurusan terbarunya, Mind Order seperti disiarkan portal online hari ini.
Kepada satu soalan, Erra juga tidak nampak perlu dia dan Shahir mengadakan sidang media khas untuk menjawab apa yang berlaku bagi mengelakkan spekulasi.
“Its not a good idea. At least kalau dia (Shahir) suami saya atau tunang saya ke lainla,” katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih berkawan dengan Shahir seperti biasa dan tidak mahu memanjangkannya lagi kerana urusan jodoh atau tidak adalah urusan Allah.
Kepada Shahir beliau menasihat penyanyi muda itu supaya menjadikan tahun 2018 ini dengan kehidupan baru yang lebih baik.
Sementara itu, mengenai hubungannya dengan isteri kepada bekas suaminya, Erra mengakui tidak kekok dan ikhlas berkawan Laudya Cynthia Bella demi anaknya, Engku Aleesya.
Menurutnya, dia juga mempunyai hubungannya yang baik dengan bekas suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin yang kini suami kepada Laudya Cynthia.
“Kami berpisah cara baik. Bekas suami yang baik, sekarang tidak ada problem. Dia (Laudya) tidak ada problem, hormat dan sama-sama mendidik, menjaga anak (Aleesya).
“Saya dan dia (Laudya Cythia) tak rasa kekok. Dia ikhlas, terima dia ibu Aleesya,” katanya.
Terdahulu, Erra merancang akan bekerja keras dengan syarikat pengurusannya baharunya pada tahun 2018 di bawah pengurusan Mind Order.- MalaysiaGazette