KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengesahkan beberapa kawasan terutama di selatan Semenanjung  mengalami penurunan suhu dengan Kuala Pilah di Negeri Sembilan merekodkan suhu paling rendah pada 21 darjah Celcius sejak tengah malam tadi hingga awal pagi.

Ketua Pengarahnya Alui Bahari berkata bagaimanapun keadaan itu adalah fenomena biasa ketika musim monsun timur laut.

“Cuaca mendung, hujan berterusan dan pergerakan tiupan angin sejuk monsun timur Laut merupakan antara faktor cuaca sejuk yang melanda beberapa negeri di Semenanjung sejak semalam.

“Cuaca sejuk ini berlaku terutamanya di kawasan pedalaman dan daratan dengan sejak tengah malam semalam hingga awal pagi ini, stesen meteorologi dari selatan Semenanjung hingga ke Johor mencatatkan suhu 22 darjah Celcius minimum dan maksimum 25 darjah Celcius berbanding suhu biasa 30 hingga 31 darjah Celcius,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai isu suhu sejuk  melanda beberapa negeri yang ditularkan  menerusi media sosial sejak beberapa hari lalu.

Mengulas lanjut, Alui berkata perubahan suhu itu turut disumbangkan oleh keadaan berawan dan hujan renyai di beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka serta hujan sederhana di Pahang dan Johor.

“Kita jangka keadaan akan kembali normal hari ini selepas hujan reda,” katanya menambah fenomena itu tidak melanda negeri-negeri di utara Semenanjung. – BERNAMA