KUALA LUMPUR – Kampung Baru di sini yang menjangkau usia 118 tahun perlu dibangunkan secara berperingkat seiring dengan kekuatan ekonomi orang Melayu di kawasan itu, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Katanya ini kerana orang Melayu di kawasan itu belum bersedia dan pembangunan secara tergesa-gesa hanya berisiko mengakibatkan tanah bersejarah orang Melayu di ibu negara hilang ke tangan bukan Melayu.
“Bagi mengekalkan status tanah itu milik Melayu, saya sarankan ia perlu dilaksanakan secara berperingkat ataupun kita bangunkan bila ia bersesuaian dengan masa dan keadaan kerana tujuan pembangunan ini juga adalah untuk manfaat orang Melayu.
“Kalau kita nak nilai kita perlu ambil masa, ia tidak boleh dibuat sekarang dan ia memakan masa kerana perkara ini memerlukan kerjasama yang baik daripada pemilik tanah dan penduduk,” katanya semasa ditemui pemberita selepas Program K-Sharing ‘Sirkulasi Kampung Baru 118 Tahun’ di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Johari yang juga Anggota Parlimen Titiwangsa berkata pembangunan di atas tanah berkeluasan kira-kira 9.5 juta kaki persegi dengan anggaran nilai RM130 billion itu perlu juga dilaksanakan kelak kerana Kampung Baru merupakan identiti dan kekuatan orang Melayu di negara ini.- BERNAMA
Comments are closed.