Mahfuz Omar
Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Datuk Mahfuz Omar enggan memendam rasa marah dengan pimpinan Pas yang menghinanya sebaliknya mengganggap ia sebagai suntikan semangat baginya untuk meneruskan perjuangan.

Ahli Parlimen Pokok Sena yang mengumumkan keluar parti yang disertainya selama 34 tahun itu berkata tidak terasa hati walaupun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkritiknya sebagai ‘orang yang sudah lama mati tunggu nak ditanam’ sebaliknya menerima dengan hati terbuka.

“Saya sedikit pun tidak terasa hati dengan kata-kata tersebut bahkan saya hargai dan menyanjung tinggi segala ilmu yang saya pelajari dari beliau selama saya berada di dalam Pas.

“Terima kasih Tok Guru kerana mengibaratkan saya sedemikian rupa bersama dengan gelak tawa Tok Guru di hadapan warga media. Moga Allah akan merahmati dan memberkati Tok Guru di dunia dan akhirat,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan tindakan keluar parti tersebut terpaksa diambil kerana Pas sudah lari daripada prinsip menegakkan keadilan Islam serta menentang segala bentuk kemungkaran, salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan harta negara.

“Saya merasakan telatah politik Pas terutama sejak dua tahun kebelakangan ini sudah mula mengkhianati prinsip yang saya genggam maka saya tidak rela mengadai prinsip semata-mata kerana takut atau gentar kepada celaan manusia,” ujarnya lagi.

Menurut beliau lagi, perjuangan yang lebih besar baginya adalah jihad untuk menyelamatkan negara daripada menuju kehancuran.

“Cabaran yang lebih besar pada saya ialah jihad menyelamatkan Malaysia dari jatuh ke jurang kehancuran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette