KUALA LUMPUR – Perjuangan reformasi yang dibawa PKR menjadi sia-sia apabila ia kini didominasi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, bidas pegawai khas pejabat Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor.
Rizal menyifatkan parti pembangkang itu tidak akan pergi jauh apabila hala tuju parti itu kini hanya mementingkan seorang individu sahaja dan bukan untuk rakyat lagi.
“PKR tidak akan pergi jauh selagi keluarga ini terus mendominasi halatuju politik PKR.
“Walaupun PKR mempunyai beberapa pemimpin lain yang lebih berkaliber namun kepentingan keluarga Anwar dijadikan keutamaan politik mereka terlebih dahulu berbanding dengan hal lain.
“Sia-sia sahaja perjuangan reformasi selagi keluarga itu terus mendominasi PKR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, kemelut politik negara yang berlarutan sehingga sekarang adalah berpunca daripada tindakan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Anwar semasa era refomasi 1998 lalu.
“Semuanya bermula apabila Anwar giat menjalankan gerakan merampas jawatan nombor satu dan Mahathir berusaha mempertahankan jawatan yang disandangnya.
“Namun hari ini apa yang telah terjadi? Keluarga Anwar telah menjadi pendukung kuat Dr M untuk kembali menjadi perdana menteri. Tiada lagi istilah mahazalim dan mahafiraun yang mereka lemparkan dahulu,” katanya lagi.
Terdahulu, PKR bersetuju untuk meletak Mahathir sebagai Perdana Menteri Pakatan Harapan sekiranya memenangi pilihan raya umum ke-14 kelak. – MalaysiaGazette