KUALA PILAH – Penurunan suhu dengan Kuala Pilah di Negeri Sembilan merekodkan suhu paling rendah iaitu 21 darjah Celcius, menjadi fenomena luar biasa bagi penduduk dikawasan itu meskipun sebelum ini mereka sudah terbiasa dengan cuaca sejuk berbanding kawasan lain.
Seorang suri rumah Norizan Mahadi, 58, yang menetap di Taman Seri Ulu Bendul, Kuala Pilah sejak 17 tahun lalu berkata keadaan sejuk di kawasan ini bukanlah sesuatu yang pelik memandangkan kediamannya berdekatan dengan gunung, namun fenomema sejuk yang berlaku sejak empat hari lepas, ternyata agak luar biasa.
“Cuaca sejuk sejak empat hari lepas merupakan pengalaman pertama sejak saya menetap di sini sehingga tidak perlu memasang kipas di siang hari.
“Ketika waktu malam pula, suhu lebih sejuk berbanding waktu siang dan dinginnya terasa seakan berada di dalam peti ais,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Sementara itu, pemandu teksi Md Tahir Md Derus, 46, berkata keadaan berkabus di sekitar kawasan Kuala Pilah pada kali ini adalah luar biasa apabila bukan bersifat sementara sebaliknya kabus sepanjang masa.
“Kawasan ini sentiasa diselubungi kabus pada masa-masa tertentu, tetapi sejak beberapa hari kebelakangan ini kabus sentiasa ada sehingga mengaburi jalan raya dan menyukarkan pemanduan,” katanya.
Katanya suhu sejuk seperti ini juga jika berpanjangan dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan, justeru bagi mengelakkan demam, selsema dan sebagainya, penduduk dilihat mula memakai pakaian sejuk untuk memastikan suhu badan mereka kekal panas.
Tinjauan Bernama di Kuala Pilah mendapati cuaca mendung dan dingin sejak awal pagi tadi serta berkabus.
Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini mengesahkan beberapa kawasan terutamanya di selatan Semenanjung mengalami penurunan suhu dengan Kuala Pilah di Negeri Sembilan merekodkan suhu paling rendah pada 21 darjah Celcius sejak tengah malam kelmarin hingga awal pagi semalam.
Ketua Pengarahnya Alui Bahari berkata keadaan itu, bagaimanapun adalah fenomena biasa ketika musim monsun timur laut.- BERNAMA