KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menafikan mengeluarkan maklumat berhubung penurunan suhu sehingga 17 darjah Celsius yang kini tular menerusi media sosial.
Jabatan itu berkata, suhu minimum yang direkodkan semalam ialah 21 darjah selsius di Mersing dan Kuala Pilah manakala kawasan-kawasan lain merekodkan suhu minimum sekitar 22 darjah Celsius yang lazim berlaku pada awal pagi.
“Keadaan ini berlaku berikutan cuaca mendung, hujan berterusan dan pergerakan angin sejuk monsun timur laut yang dijangka berterusan sehingga hari ini,” demikian menurut kenyataan itu.
Jabatan tersebut turut menasihati orang ramai mendapatkan maklumat sahih berkaitan cuaca menerusi laman sesawangnya di www.met.gov.myatau aplikasi mudah alih (myCuaca), laman Facebook malaysiamet, Twitter @malaysianmet dan talian 1 300 22 1MET (1638).
Maklumat yang tular itu antara lain mendakwa berdasarkan ‘Info Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia’ seluruh negara mengalami penurunan suhu dengan Tawau mencatatkan suhu terendah pada 17.6 darjah Celsius.
Ia juga memberi amaran menasihati orang ramai memakai baju tebal pada malam ini bagi mengelakkan suhu badan turun secara mendadak dan seterusnya membawa demam panas. – MalaysiaGazette