KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Gombak (DPPG) mengalu-alukan kesediaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memberi laluan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad bertanding di Parlimen Gombak.
Ketuanya, Dr. Md. Noor Hussin berkata, DPPG telah lama bersiap sedia untuk menghadapi saingan tiga penjuru atau lebih di parlimen itu tanpa mengira siapa pun calon bagi pihak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Pemuda Pas Gombak mengambil cadangan ini sebagai cabaran dan bersedia menyahutnya sebagai anak jantan.
“Dengan “track record” yang ada pada Tun Dr. Mahathir, Pemuda Pas Gombak tidak memandang enteng cabaran tersebut memandangkan lawan kali ini ialah seorang bekas diktator yang mempunyai pengalaman puluhan tahun dalam manipulasi pilihan raya, melacurkan demokrasi dan menzalimi rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mohamed Azmin semalam, yang secara terang terangan mempelawa mahathir yang juga Pengerusi PH bertanding di kerusi Gombak pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).
Menurut Md. Noor, dengan pelawaan itu bermakna desas-desus mengatakan Mohamed Azmin tidak akan mempertahankan kerusi Gombak mungkin menjadi kenyataan.
“Kita bersedia dengan seluruh kekuatan yang dimiliki untuk turun ke medan perang politik kali ini bagi menamatkan riwayat politik diktator paling lama dalam sejarah Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette