Najib Razak

PENAMPANG – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan RM8.5 juta bagi menaik taraf Pasar Donggongon di sini.

Ketika berucap selepas membuat tinjauan mesra di pasar itu, beliau berkata usaha menaik taraf pasar itu akan memberi keselesaan kepada lebih 100 peniaga di pasar itu dan juga pembeli.

“Meskipun (kerusi Parlimen) Penampang belum dimenangi Barisan Nasional (BN), tetapi kerajaan BN tidak pernah ketepikan rakyat di sini.

“Saya turun untuk membuat tinjauan mesra di Penampang disebabkan kerajaan BN sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan semua rakyat,” katanya.

Najib juga berkata jika rakyat di Sabah terus memberi mandat kepada BN untuk menerajui kerajaan, BN akan membawa lebih banyak kemajuan kepada negeri ini.

Perkara itu akan dimantapkan lagi dengan hubungan erat sedia ada di antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri, katanya.

“Tahun demi tahun, kita telah melalui keadaan politik yang stabil dan dipacu dengan kemajuan negara yang pesat.

“Untuk Sabah, kerajaan BN pimpinan saya telah meluluskan berbilion ringgit untuk pembangunan Sabah,” katanya.

Najib juga memohon sokongan rakyat bagi membantu kerajaan mencapai aspirasi negara menjadi antara negara termaju di dunia menjelang 2050.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast