LONDON – Chelsea terus bernafsu memperkuatkan jentera serangan pasukan yang kelihatan kurang taring ketika ini apabila merancang untuk membida seorang lagi pemain penyerang iaitu Edin Dzeko.
Sebelum ini, kelab utara London itu turut menunjukkan minat terhadap penyerang West Ham United, Andy Carrol.
Sky Sports Itali melaporkan, Chelsea berhasrat untuk membawa masuk penyerang AS Roma itu bersama rakan sepasukannya dari Brazil yang beraksi di posisi pertahanan kiri, Emerson Palmieri.
Kelab Itali itu meminta hampir £77 juta bagi kedua-dua pemain tersebut dengan Dzeko bernilai £57 juta dan Emerson pula dengan £20 juta.
Nilai itu dilihat tinggi kerana Chelase hanya menawarkan £44 juta termasuk meminjamkan Michy Basthuayi sebagai salah satu daripada pertukaran tersebut.
Edin Dzeko menjadi pertaruhan baharu Chelsea tatkala juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu berdepan ketandusan gol menerusi Alvaro Morata sejak enam perlawanan lalu.
Edin Dzeko, pemain kelahiran Sarajevo itu bukanlah nama asing dalam saingan Liga Perdana Inggeris apabila pernah beraksi untuk Manchester City dari tahun 2011 hingga 2015 sebelum dipinjamkan ke Roma dan kemudiannya berpindah secara tetap ke kelab tersebut.
Dia juga telah menghasilkan dua gol ketika bertemu Chelsea dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini.
Sebelum ini Antonio Conte memilih untuk membawa masuk Andy Carroll ke Stamford Bridge, namun usaha tersebut gagal apabila penyerang dari England itu kini sedang mengalami kecederaan. – MalaysiaGazette