Presiden dan CEO Perodua,Datuk Aminar Rashid Salleh memberi taklimat mengenai prestasi Perodua di Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2018.

PETALING JAYA – Tidak menyangka permintaan Myvi baharu varian 1.5 liter mendapat sambutan di luar dugaan, Perodua terpaksa bekerja lebih masa untuk memastikan penghantaran kereta-kereta baharu itu tepat pada masanya.

Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, mereka mensasarkan jualan Myvi pada tahun ini adalah 70,000 unit dengan nisbah jualan 55:45 untuk varian 1.5 liter dengan 1.3 liter.

Bagaimanapun, selepas dua bulan pelancarannya, tempahan Myvi menunjukkan model varian 1.5 mendapat sambutan luar biasa berbanding varian 1.3 liter.

“Kami mengakui bahawa kami sudah membuat kesilapan. Semasa melancarkan model baharu Myvi, kami meramalkan nisbah jualan adalah 55:45 tetapi apa yang berlaku varian 1.5 mencatatkan jualan 85:15.

“Ini adalah kesilapan yang baik sebenarnya dan kami bekerja keras setiap hari demi untuk memastikan permintaan pelanggan dapat dipenuhi,” katanya semasa sidang media selepas mengumumkan prestasi tahunan Perodua di sini hari ini.

Setakat ini, Myvi telah menerima lebih 36,000 tempahan sejak November lalu.

Meskipun berbangga dengan pencapaian Myvi, Aminar enggan meletakkan prestasi Perodua di tangan Myvi semata-mata sebaliknya mahu setiap model menjadi penyumbang kepada sasaran jualan yang telah ditetapkan iaitu 290,000 unit.

Katanya, biarkan Myvi bersaing sesama sendiri dengan “adik-beradiknya” yang lain dan sekaligus terus memacu kejayaan Perodua menerajui pasaran automotif tempatan buat kali ke-12 berturut-turut.

Menyentuh mengenai kemungkinan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahun ini, Aminar berkata, pihaknya sedang memantau perkembangan itu dan mengakui sebarang langkah berkaitan kadar faedah pastinya memberi impak kepada syarikat.

Dalam pada itu, beliau turut gembira dengan perkembangan baharu profil pelanggan Perodua yang terdiri daripada pembeli yang sudah mempunyai kenderaan, mempunyai latar belakang pendapatan yang lebih kukuh dan sedikit berusia berbanding profil pelanggan terdahulu.

Selama ini, kebanyakan pelanggan Perodua terdiri daripada pembeli pertama kenderaan.

Beliau bagaimanapun tidak mempunyai statistik tepat kerana perkembangan ini terlalu baharu dan menjangkakan dapat mengumumkannya semasa pembentangan prestasi syarikat suku pertama nanti.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast