TAWAU – Seorang pelancong warga China didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi pertuduhan merokok di tandas pesawat semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau pada Selasa lepas.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada Li Jin Ming, 41, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Rendah, Puspawati Sangut.

Dalam pada itu, Puspawati membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 25 Januari ini bagi sebutan semula kes.

Lelaki itu juga diperintah menyerahkan pasportnya dan melapor diri kepada Pegawai Penyiasat seminggu sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Superitendan Nur Intan Jamrin manakala tertuduh diwakili peguam, Liew Ho Min.

Mengikut pertuduhan, Li yang berasal dari Yunnan, China didapati merokok di dalam tandas D, pesawat Air Asia AK5746  yang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 ke Lapangan Terbang Tawau pada 1.01 petang, 16 Januari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 100, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast