Nik Mazian
KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 11 wakil rakyat Pas Kelantan termasuk seorang anggota Exco Kerajaan Negeri dikatakan telah digugurkan dari senarai awal sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Mereka adalah sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua Ahli Parlimen, melibatkan tiga wanita serta lapan lelaki.

Menurut sumber, 11 wakil rakyat itu dikatakan tidak lagi konsisten dengan perjuangan parti selepas ramai pemimpinnya keluar Pas dan menubuhkan parti baharu, Parti Amanah Negara (PAN) dua tahun lalu.

Mereka juga disebut-sebut antara 10 ADUN yang akan melompat parti bersama ADUN Salor, Datuk Husam Musa menyertai PAN.

Bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar kerana semua sembilan ADUN dan dua Ahli Parlimen itu masih kekal serta ‘setia’ bersama Pas sehingga kini.

Sumber itu berkata, sembilan ADUN berkenaan ialah Mohd Zaki Ibrahim (Kelaboran), Abdul Latif Abdul Rahman (Mengkebang), Abdul Aziz Kadir (Jelawat), Abdul Rasul Mohamad (Bukit Tuku), Abdul Halim Abdul Rahman (Chetok) dan Muhamad Awang (Gual Periok).

TIga wakil rakyat muslimat yang dibayangkan antara digugurkan ialah anggota Exco Kerajaan Kelantan yang juga ADUN Demit, Mumtaz Md. Nawi; ADUN Kijang, Wan Ubaidah Wan Omar; dan ADUN Tanjung Mas, Rohani Ibrahim.

Dua Ahli Parlimen ialah Dr. Nik Mazian Nik Mohamed (Parlimen Pasir Puteh) dan Ahmad Baihaki Atiqullah (Parlimen Kubang Kerian).

Jika benar sebagaimana dakwaan yang telah menjadi bualan khalayak, besar kemungkinan parti itu akan berdepan dengan krisis kepercayaan rakyat termasuk pemimpin, ahli dan penyokong Pas.

Pas Kelantan dikatakan terpaksa melakukan pembersihan itu kerana tidak mahu lagi ada gunting dalam lipatan atau musuh dalam selimut sebagaimana berlaku kepada enam Ahli Parlimen Pas yang menyertai PAN beberapa tahun lalu.

Dengan menyingkirkan lebih awal golongan yang dilihat cenderung serta condong kepada PAN, akan menyelamatkan Pas pada masa akan datang.

Selain enam Ahli Parlimen Pas yang menyertai PAN itu, turut dipecat keahlian parti ialah Husam; bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah; dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Sementara itu, Nik Mazian yang sebelum ini pernah menafikan namanya dikaitkan dengan PAN berkata, hakikatnya beliau masih setia bersama Pas dan tidak akan meninggalkan parti itu.

“Sudah lama saya dikaitkan, sedangkan saya tidak ada apa-apa. Biarlah, jalan terbaik adalah berdiam diri, kita buat kerja macam biasa,” katanya.

Wan Ubaidah juga menafikan dakwaan beliau akan menyertai PAN dan menyifatkan ia sebagai tuduhan tidak berasas.

Katanya, beliau hairan bagaimana namanya turut dikaitkan, sedangkan dia sendiri tidak tahu apa-apa mengenai parti itu. – MalaysiaGazette