Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32) akan menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 Februari 2018.

KUALA LUMPUR – Acara muzik yang paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia setiap tahun iaitu Anugerah Juara Lagu (AJL) bakal muncul kembali.

Kali ini, sebanyak 12 lagu terbaik sepanjang tahun 2017 akan menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil disini pada 11 Februari ini.

Jika tahun lalu, Cerita Dalam Lagu menjadi tema pilihan, Anugerah Juara Lagu yang ke-32 (AJL32) tahun ini mengangkat fesyen dan muzik sebagai tema utama.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak, memasuki edisi ke-32, AJL masih utuh mendominasi sebagai pentas terbaik mengangkat usaha para pemuzik yang merangkumi komposer, penulis lirik dan juga penyanyi melalui penjurian profesional.

“Kami turut berbangga kerana tidak hanya mengiktiraf lagu terbaik, AJL dilihat menjadi pentas idaman para penyanyi untuk mempamerkan kualiti vokal nyanyian dan persembahan mereka.

“Selain itu, buat pertama kalinya demi menampilkan kelainan bersesuaian dengan tema yang dipilih, trofi AJL 32 telah disuntik dengan elemen fesyen hasil kerjasama pereka fesyen tersohor, Rizman Ruzaini,” katanya pada sidang media AJL32 di sini baru-baru ini.

Dayang Nurfaizah.

Johan menambah, selain mahu menghayati komposisi lagu, nyanyian merdu serta bertenaga para finalis dan persembahan yang dipertaruhkan, penonton juga sentiasa ternanti-nantikan fesyen apakah yang bakal digayakan mereka.

Jelasnya ini kerana muzik dan fesyen sememangnya saling melengkapi.

“Kami merasakan tema yang dipilih pada tahun ini amat bertepatan,” ujarnya lagi.

Sementara itu menoleh sejenak sejarah AJL, transisi fesyennya sentiasa berubah-ubah dari tahun 1986 hingga kini.

Pasti ramai yang masih ingat fesyen pilihan Ramlah Ram yang berani untuk berevolusi ketika itu dengan memakai baju berbentuk kunci dan hati.

Begitu juga jika melihat pada pemilihan fesyen terkini, Dayang Nurfaizah antara finalis yang dilihat peka dengan penampilannya di atas pentas.

Dia pasti tampil dengan persalinan mewah dan bergaya, bersesuaian dengan lagu yang disampaikan sehingga menjadi identitinya.

Tidak kurang juga dengan pemilihan pakaian oleh Ning Baizura yang memakai baju kurung lusuh (Awan Yang Terpilu) dan Hafiz Suip yang tampil ringkas berbaju T, seluar track menerusi lagu Awan Nano.

Realitinya pemilihan pakaian itu memberi impak yang besar dan melengkapkan lagi jalan cerita lagu yang disampaikan mereka.

Setiap artis bebas bereksprementasi dan memilih bagaimana mereka mahu menyerlahkan ekspresi diri melalui muzik dan fesyen, samada bergerak seiring dengan peredaran zaman atau terus kekal dengan identiti walaupun dunia telah berevolusi.

Wany Hasrita.

Selain 12 lagu yang dipertandingkan, gandingan pengacara majlis turut menjadi tumpuan. Jika tahun lalu menampilkan Awal Ashaari, Sarimah Ibrahim, Fara Fauzana dan Fizi sebagai pengacara, tahun ini Alif Satar dan Sherry Al Hadad bakal menggalas tugas berat untuk mengacarakan AJL32.

Alif Satar.

AJL32 dibawa khas oleh Nivea Face Care, Nivea Pearl White Whip Foam dan Samsung Galaxy A8 | A8+. Selain itu, Samsung akan turut menyumbangkan hadiah bagi kategori Anugerah Penyanyi Pilihan Samsung dan juga Persembahan Terbaik.

Malam AJL32 nanti akan turut diserikan dengan persembahan hebat oleh Stacy, AG Coco, Edrie Hashim, Waris, Awie, Siti Sarah, A. Rahman Hassan dan Jeffrey Din.

Sherry Al-Hadad.

Berikut adalah senarai lagu yang layak ke AJL32:-

 

LAGU KOMPOSER PENULIS LIRIK PENYANYI
AKHIRNYA CINTA Ajai Slen Salma
AKU CINTA Syamel Syamel Syamel & Ernie Zakri
AKU YANG SEBENAR M.Nasir Ad Samad Hazama  The Penglipur Lara
AMBOI Navigator Altimet Altimet
BAYANG Alam (Harry Khalifah) Patrick Anohada Khai Bahar
JAMPI Hael Husaini, Ezra Kong Hael Husaini, Ezra Kong Hael Husaini
LEBIH SEMPURNA Syamel, Edry Abd Halim & Boy Anaz Syamel Syamel
MENAHAN RINDU Ibnu & Gouffran Ibnu & Gouffran Wany Hasrita
SEJATI Faizal Tahir & Mike Chan Faizal Tahir & Mike Chan Azmi Caliph Buskers (Penyanyi Asal Faizal Tahir)
SEPARUH MATI KU BERCINTA Ajai Ajai Dayang Nurfaizah
TERGANTUNG SEPI Gouffran / Ibnu Gouffran / Ibnu Haqiem Rusli
WARKAH UNTUK MU Hang Nadim Laq Ara Johari

 

  • MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast