Pengerusi Persatuan Pusat Komersil Bandar Mahkota Cheras, Terence Ee (kanan) bersama sebahagian peniaga membuat bantahan secara aman berkenaan isu penjaja haram yang bertapak di laman niaga Pusat Komersil Bandar Mahkota Cheras, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 23 JANUARI 2018.

CHERAS – Persatuan Pusat Komersil Bandar Mahkota Cheras mengadakan piket hari ini membantah tindakan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) yang didakwa memberikan lesen kepada penjaja haram.

Tindakan itu menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan penyewa di pusat komersil tersebut.

Pengerusinya, Terence Ee mendakwa kelulusan yang diberikan oleh MPKJ kepada lima penjaja di tapak laman niaga bersebelahan Jalan Temenggung 7/9 dilakukan tanpa merujuk kepada persatuan terlebih dahulu.

Malah pihaknya sudah menghantar sebanyak 250 tandatangan daripada peniaga di pusat komersil yang tidak menyokong kawasan itu dijadikan tempat untuk berjaja.

Pengerusi Persatuan Pusat Komersil Bandar Mahkota Cheras, Terence Ee bercakap kepada media mengenai isu penjaja haram yang bertapak di laman niaga Pusat Komersil Bandar Mahkota Cheras, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 23 JANUARI 2018.

“Kami sudah hantar bantahan  kepada MPKJ tapi mereka tidak mengendahkannya sebaliknya memberikan lesen kepada penjaja disini.

“Semasa hendak buka kawasan laman niaga ini, tidak ada sebarang pendengaran awam diadakan untuk mendengar pandangan penyewa lot di pusat komersil ini, tiba-tiba mereka turap tar dan memberikan lesen kepada penjaja,” kata beliau semasa ditemui ketika bersama 20 orang peniaga di pusat komersil yang berpiket pagi ini.

Menurut  terence, pada mulanya MPKJ memberitahu hanya lima lesen diberikan bagaimanapun kini terdapat semakin banyak lagi penjaja yang dibenarkan berniaga.

“Jadi, kami tidak tahu sama ada penjaja-penjaja lai itu memiliki lesen atau tidak? Jika tidak ada mengapa tidak ada tindakan diambil oleh MPKJ,” soalnya.

Dalam pada itu, seorang lagi wakil persatuan, Dr. Hoo Kie Ngie berkata, lokasi laman niaga yang menempatkan penjaja itu menimbulkan banyak masalah timbul seperti kesesakan lalu lintas dan kebersihan.

Wakil peniaga, Dr. Hoo Kie Ngie bercakap kepada media mengenai isu penjaja haram yang bertapak di laman niaga Pusat Komersil Bandar Mahkota Cheras, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 23 JANUARI 2018.

“Mereka berniaga sejak pagi sehingga lewat malam, apabila petang waktu orang ramai pulang kerja ia menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana ada orang yang meletak kereta sesuka hati di tepi-tepi jalan.

“Satu lagi isu adalah mengenai kebersihan, apabila habis berniaga keesokan pagi sampah berlongok-longok ditinggalkan di tepi jalan penjaja ini berniaga… ini menimbulkan rasa kurang senang, ini bukan imej sebuah pusat komersil,” kata Kie Ngie yang membuka klinik haiwan di pusat komersil tersebut.

Dalam pada itu, Terence juga membidas Ahli Dewan Undangan Dusun Tua, Razaly Hassan yang juga wakil Pas yang pada awalnya berjanji untuk menyuarakan bantahan namun pada akhirnya beliau sendiri memungkirinya.

“Apabila kami tanya beliau, YB beritahu tidak mengetahui bagaimana kelulusan diberikan oleh MPKJ,” ujarnya.

Selain itu, Ahli Majlis Bandar Mahkota Cheras, John Leong yang mewakili DAP juga didakwa tidak menjalankan tugasnya dengan tidak mengendahkan bantahan disuarakan oleh persatuan.

Jelas Terence, mereka tidak berniat untuk ‘menutup pintu rezeki’ penjaja disitu sebaliknya mencadangkan supaya penjaja disitu berpindah untuk berniaga ke sebuah kawasan lapang kira-kira 50 meter sahaja dari laman niaga.

“Dalam kawasan ini ada satu tapak Bazar Ramadhan, mengapa MPKJ tidak mahu menempatkan penjaja ini ke dalam tapak tersebut? Bukankah disitu lebih selesa dan tidak menganggu lalu lintas,” kata beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast