KUALA LUMPUR – Kartunis di negara ini diingatkan agar menjaga batas dalam berkarya, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Menurutnya, golongan itu perlu tahu cara melontarkan pandangan menerusi lukisan dan mengelakkan daripada memfitnah mana-mana individu termasuk ahli politik.
“Kartunis perlu teruskan apa yang diceburi. Tapi berhati-hati dengan fitnah sebab kita ada undang-undang. Kena tahu batas,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Pameran Kartun dan Kita, Pelancaran Kalendar Acara 2018 dan Pelancaran Buku Terbitan Jabatan Muzium Negara hari ini.
Terdahulu Mohamed Nazri dalam ucapannya berkata, bidang kartunis dalam negara berperanan penting bukan sahaja dalam menghiburkan malah medium untuk memberikan teguran dengan caranya tersendiri.
Dalam pada itu beliau berpendapat, ahli politik dalam negara perlu ‘muka tebal dan telinga nipis’ dalam mendepani kritikan yang diterima dalam pelbagai bentuk termasuklah karikatur.
Tambah Mohamed Nazri, golongan sepertinya daripada parti mana sekalipun perlu sedar akan perubahan masa kini tidak lagi konservertif dan lebih kepada berfikiran terbuka dalam menerima teguran.
“Saya tak kisah sama ada Perdana Menteri atau saya sendiri. Kita kena muka tebal jangan telinga nipis. Kalau pilih untuk tidak dikritik duduk rumah, duduk rumah jangan ke mana-mana.
“Tapi kalau saya saya tak kisah dikritik tapi jangan marah kalau saya respon,” katanya lagi.
Jelas Mohamed Nazri ini kerana kritikan adalab salah satu cabaran yang terpaksa dihadapi olen ahli politik sama ada suka atau sebaliknya.
“Kalau nak terlibat dalam politik kena tahu apa yang akan mendatang,” katanya mengulas lanjut. -MalaysiaGazette