Mohd Jaya Al Bakri, pada mesyuarat jawatankuasa sukan Gimnastik di Majlis Sukan Negara.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) akan hanya mengumumkan sasaran kutipan pingat keseluruhan pada Sukan Komanwel 2018 Gold Coast, Australia, minggu depan.

Presiden MGF Datuk Jaya Al Bakri berkata berikutan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersetuju menghantar sembilan gimnas menyertai temasya sukan itu yang akan berlangsung dari 4-15 April depan, kesemua atlet berkenaan dijadual beraksi pada beberapa siri Piala Dunia, sebelum itu.

Beliau berkata saingan siri Piala Dunia itu adalah kejohanan kompetitif pertama skuad gimnastik negara selepas Sukan SEA 2017, Ogos lepas,

“Kita sudah memutuskan menghantar dua gimnas lelaki dan empat wanita dalam disiplin artistik, manakala bagi berirama kita senaraikan tiga atlet. Gimnas yang terpilih dan sasaran pingat akan diumumkan akhir bulan ini.

“Gimnas terpilih adalah berdasarkan prestasi dan bebas kecederaan. Mereka akan menyertai beberapa siri Piala Dunia di Slovenia, Rusia dan Jepun sebagai persiapan agar mereka cukup bersedia untuk meraih keputusan positif,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden MGF Petrina Low dipetik sebagai berkata persekutuan berkenaan menyasarkan satu pingat emas dalam acara berirama berpasukan pada temasya di Gold Coast itu.

Malaysia akan bersaing dalam tiga disiplin – artistik lelaki, artistik wanita dan berirama wanita pada Sukan Komanwel 2018.

Pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Wong Poh San meraih pingat perak dalam acara berirama wanita menerusi disiplin riben, dan gangsa dalam hoop, sebelum bergandingan dengan Fatin Zakirah Zain Jalany dan Amy Kwan Dict Weng untuk memenangi gangsa dalam acara all-round berpasukan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast