Husam Musa

KUALA LUMPUR – Ibarat ‘paku dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih’.

Itulah perumpamaan Melayu yang dibalas balik oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa kepada Pas apabila presidennya menegur kerajaan Selangor membekukan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu.

Kata Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Salor, selepas beliau keluar Pas menyertai Parti Amanah Negara (PAN), peruntukan kepadanya telah ditarik balik oleh Pas Kelantan.

“Saya gembira dengan dua kenyataan pemimpin parti Islam itu.

“Saya selaku ADUN Kelantan nampaknya akan memperoleh semula hak saya mengagihkan peruntukan DUN Salor,” katanya dalam blog beliau, husammusa.com semalam.

Pada Isnin lalu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan kerajaan PKR Selangor agar tidak mencampur adukkan isu berkaitan dengan politik dalam urusan pentadbiran negeri yang telah diamanahkan oleh rakyat.

Abdul Hadi berkata demikian merujuk kenyataan wakil rakyat Pas Selangor yang mendakwa peruntukan tahunan yang sepatutnya diterima mereka pada tahun ini, telah dibekukan oleh kerajaan negeri.

Menurut Husam, seorang anggota Exco Pas yang Setiausaha Perhubungan Pas negeri juga mengajukan perkataan senada dengan presidennya termasuk mendakwa tindakan itu tidak adil.

“Terima kasih Presiden Pas dan Exco Kelantan kerana memperjuangkan keadilan untuk saya. Esok saya akan menghantar senarai peruntukan untuk rakyat Salor.

“Saya berharap kerajaan Selangor mengikuti tindakan adil, demokratik dan Islamik kerajaan Pas Kelantan nanti,” sindir beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast