KUALA LUMPUR – Hasrat juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) tidak kesampaian setelah tewas 2-5 kepada wakil Thailand, Muangthong United pada pusingan kelayakan kedua di Bangkok, malam ini.
Kekalahan itu menyaksikan JDT bakal beraksi dalam Kumpulan H Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bersama tiga pasukan lain – Tampines Rovers dari Singapura, Persija Jakarta (Indonesia) dan kelab Vietnam, Song Lam Nghe An.
Kemenangan itu menyaksikan Muangthong yang merupakan naib juara Liga Perdana Thailand 2017 bakal membuat perhitungan dengan kelab Liga Jepun, Kashiwa Reysol pada aksi terakhir kelayakan di tempat lawan pada 30 Jan ini.
Pemenang perlawanan tersebut akan menyertai tiga pasukan lain dalam Kumpulan E ACL iaitu Jeonbuk Hyundai Motors dari Korea Selatan, Kitchee SC (Hong Kong) dan pemenang perlawanan kalah mati pusingan kelayakan antara Tianjin Quanjian dari China dan kelab Filipina, Ceres-Negros.
Pada aksi berlangsung di Stadium Suphachalasai, Muangthong tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi gol Sarach Yooyen seawal minit ketujuh perlawanan sebelum Tristan Do menggandakan jaringan untuk skuad ‘The Kirins’ pada minit ke-21, demikian menurut laman Facebook JDT; The Southern Tigers.
Pemain import dari Brazil, Heberty Fernandes de Andrade terus menambah derita JDT setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-28 dan keputusan 3-0 itu kekal sehingga berakhir babak pertama perlawanan.
Sebaik perlawanan disambung, Muangthong terus menambah jaringan menerusi Theerathon Bunmathan pada minit ke-56 sebelum Heberty melakar jaringan peribadi kedua, selang enam minit kemudian.
JDT, bagaimanapun berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi dua gol pemain import dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.
- BERNAMA