Chong Sin Woon.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon menempelak Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa kewujudan Malaysia- Cina Kuantan Industrial Park (MCKIP) sebagai ‘menjual’ tanah kepada syarikat asing.

Menurutnya, isu pelaburan tidak sepatutnya dipolitikkan sebaliknya bekas perdana menteri itu perlu melihat kesan positif pelaburan asing dalam negara termasuk peluang pekerjaan dan ransangan ekonomi dalam negara.

“Tetapi saya nak tunjukkan hari ini industrial park di Kuantan dan satu lagi di Zhongguancun, China ada Malaysia Park itu mutual investment.

“Jadi, janganlah mempolitikkan pelaburan luar. Kita mempunyai hubungan yang begitu erat dengan China dan ia akan membawa pelaburan, peluang kerja baru kepada rakyat Malaysia jadi jangan politikkan pelaburan daripada China,” katanya selepas majlis menandatangani Perjanjian Kesefahaman (MoU) di antara Persatuan Penggerak Perindustrian Jalur dan Laluan Zhongguancun hari ini.

Syarikat China yang kini menjadi tumpuan, tambah Sin Woon mampu memberikan pelaburan besar kepada Malaysia dan sepatutnya peluang itu digunakan sebaik-baiknya.

“Hari ini negara yan mampu membuat pelaburan yang besar adalah negara China di semua negara di dunia sedang mencari pelaburan daripada China,”ujarnya.

Beliau turut membidas tindakan Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan itu baru-baru ini yang merendahkan graduan universiti apabila kumpulan itu sanggup menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber.

Sebaliknya beliau menegaskan, sekalipun graduan universiti, tidak semestinya mereka akan memasuki alam pekerjaan yang seiring dengan pengkhususan yang dipelajari sebelum ini sebaliknya golongan muda kini lebih memilih perniagaan sebagai cara untuk mencari rezeki.

“Sekarang orang muda tidak hanya mahu jadi jurutera atau duduk pejabat. Orang muda hari ini lebih suka untuk mengadakan perniagaan lebih mencabar.

“Kalau kita tengok negara-negara maju graduan universiti jual berger di pasar malam di Taiwan adalah lumrah mereka suka dengan kebebasan begitu dan kreativiti mereka sebagai penjual nasi lemak, pemandu Uber boleh buat banyak duit.

“Jadi Tun M fahamlah keadaan terkini dunia sudah berubah,” jelas beliau. – MalaysiaGazette