PUTRAJAYA – Acara pengenalan pasukan bagi edisi ke-23 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 akan berlangsung di lokasi asal bermulanya acara lumba basikal bertaraf antarabangsa itu di Langkawi pada 14 Mac depan, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata, majlis pelancaran itu amat signifikan memandangkan acara tersebut pada awalnya diperkenalkan di pulau pelancongan terkenal tersebut pada tahun 1996 dan kali terakhir ia diadakan di Pulau Langkawi adalah pada tahun 2014.
“Akan terdapat pendakian hors di Cameron Highlands selain pendakian sukar di banjaran Titiwangsa dan Tasik Banding.
“LTdL 2018 juga akan mengekalkan tradisi untuk memperkenalkan laluan-laluan baharu perlumbaan seperti di Kuala Ketil (Kedah), Raub (Pahang) dan Batu Gajah (Perak) selain memberikan ruang kepada acara Pengenalan Pasukan kembali ke Pulau Langkawi dimana tempat bermulanya edisi pertama pada 1996,” kata Khairy semasa majlis pelancaran logo dan pengumuman laluan LTdL di pejabatnya Kementerian Belia dan Sukan hari ini.
Laluan Raub ke Cameron Highlands merupakan laluan terbaharu diperkenalkan pada edisi kali ini dan dijangka bakal memberi cabaran hebat kerana akan banyak pendakian di laluan tersebut.
Perlumbaan edisi kali ini akan bermula pada 16 Mac sehingga 25 Mac dan penganjurannya akan dikendalikan oleh syarikat Ciclista Sports Sdn Bhd, penganjur sama pada 2016 dan 2017.
Khairy juga melahirkan rasa bangga kerana pengurusan penganjuran LTdL dikendalikan oleh 100 peratus anak tempatan.
“Saya juga berbangga kerana penganjuran LTdL ini diuruskan hampir 100 peratus oleh rakyat tempatan Malaysia.
“Malah, mereka juga menerima pengiiktirafan daripada Kesatuan Berbasikal Dunia dengan surat kepujian Excellent Level of Organization buat dua tahun berturut-turut pada tahun 2016 dan tahun 2017,” katanya lagi.
Menurut Khairy, acara LTdL sangat dekat dengan hati rakyat Malaysia yang memberikan sokongan padu kepada para pelumba sepanjang berkayuh di lokasi-lokasi laluan di seluruh negara.
“Seperkara lain yang sangat menarik perhatian saya semasa LTdL 2017 adalah jumlah penonton yang menyambut, bersorak dan menyokong perlumbaan ini di bahu-bahu jalan sepanjang laluan adalah lebih besar daripada apa yang saya semasa LTdL 2016.
“Ini jelas menunjukkan bukan sahaja perlumbaan ini masih kekal dekat hati seluruh rakyat Malaysia, malah peminat LTdL dan sukan berbasikal juga semakin bertambah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Khairy juga mengharapkan agar pelumba negara memanfaatkan sepenuhnya acara edisi kali ini untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 dalam acara lebuh raya.
“Pengalaman ini amat berguna dan saya berharap LTdL akan menjadi satu medan kepada pelumba negara untuk cuba melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 dalam acara lebuh raya,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette