KUALA LUMPUR – Seorang guru yang mengamuk secara tiba-tiba dalam mesyuarat di sebuah sekolah di Kulim, Kedah semalam ditempatkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulim Bandar Baharu berkuatkuasa hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, penempatan sementara itu bagi membolehkan siasatan dijalankan sehingga selesai punca guru berkenaan bertindak sedemikian.
“Seorang guru dari sebuah sekolah di Kulim, Kedah telah didapati menunjukkan reaksi yang tidak melambangkan profesionalisme seorang guru dalam satu mesyuarat guru di salah sebuah sekolah di Kulim.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 24 Januari lalu dan telah menjadi tular sehingga menimbulkan keresahan banyak pihak.
“Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah untuk menempatkan dengan kadar segera guru berkenaan di Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu bermula 26 Januari ini, sementara siasatan punca guru berkenaan bertindak sedemikain selesai,” kata kenyataan itu.
Semalam tular di laman sosial amukan seorang guru berbangsa Cina secara tiba-tiba dalam mesyuarat di sebuah sekolah tempatan.
Menurut maklumat yang dikongsi netizen, guru itu dikatakan mengalami sakit mental dan salah seorang tenaga pengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chio Min, Kulim, Kedah.
Ketika mesyuarat itu berlangsung, seorang guru berpangkat atasan sedang menerangkan sistem pembelajaran yang perlu dipraktikkan oleh setiap guru bagi tahun 2018 ini.
Secara tiba-tiba, guru berkenaan yang dikenali sebagai Tan Hong Lian mengamuk dan mengeluarkan perkataan kesat, tetapi tidakdiketahui ditujukan kepada siapa.
Menurut kenyataan kementerian itu lagi, tindakan yang diambil ke atas guru terbabit adalah bagi mententeramkan keadaan emosinya serta menjaga ketenteraman proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di sekolah itu.
“Dalam hal ini, kementerian ingin mengingatkan semua guru dan pentadbir sekolah perlu sentiasa berkelakuan serta bertindak secara profesional pada setiap masa khususnya dalam konteks hubungan sesama rakan sekerja, murid serta masyarakat bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang.
“Kementerian juga menegaskan, sebagai penjawat awam, mereka hendaklah pada setiap masa menunjukkan teladan yang baik agar kepercayaan dan keyakinan terhadap profesion keguruan tidak menjadi bahan persendaan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette