Rakyat tidak dimaklumkan status atau tahap pembinaan lLebuh Raya Rakyat yang majlis pecah tanah disempurnakan tahun 2012.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa mendakwa pembalakan tidak terkawal oleh kerajaan Pas negeri itu antara faktor pembinaan Lebuhraya Rakyat terjejas.

Dakwa beliau, lokasi yang dicadangkan pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (RnR) dalam naungan kanopi hutan semula jadi di sepanjang lebuh raya itu juga turut tergendala berikutan pembalakan.

“Laporan konsultan menunjukkan pembalakan di laluan Lebuhraya Rakyat yang menjejaskan pembinaan ini. Padahal, pembalakan ini bukan tugas anak syarikat kerajaan negeri yang dilantik itu.

“Panjang cerita saya dengar dari taklimat pelbagai pihak mengenai pembalakan, termasuk di kawasan yang dulunya dicadangkan sebagai RnR dalam naungan kanopi hutan semula jadi.

“Semuanya musnah,” katanya dipetik dari tulisan terbaharu beliau dalam Husammusa.com, hari ini.

Menurut Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Salor, balak dalam jagaan syarikat terbabit yang seluas sekangkang kera pun dikatakan tidak selamat.

“Apa moral (motto) Membangun Bersama Islam?” soal beliau.

Katanya, syarikat berkenaan yang diberi tanggungjawab bagi tujuan khas pembinaan lebuh raya itu tetapi telah bertukar menjadi ‘penerima bayaran’ bukan pembayar yang mana akhirnya sebahagian balak telah disita dan syarikat gagal menjana ekonomi kepada kerajaan negeri. – MalaysiaGazette