KUALA LUMPUR – Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) tidak boleh mengeluarkan surat tawaran kepada pemohon perumahan Selangorku selagi dokumen sokongan yang diperlukan tidak disertakan.
Menurut jurucakap Unit Korporat dan Aduan (UKA) LPHS, apabila dokumen tidak lengkap, pemohon diminta membuat rayuan termasuk memastikan semua syarat ditetapkan dipenuhi.
Katanya, selain dokumen tidak lengkap, permohonan yang ditolak juga mungkin disebabkan pasangan pemohon sudah memiliki rumah.
“Pada 25 Januari lalu, LPHS didatangi seorang bernama Nazilah Idris yang menyatakan Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Usahawan Selangor dan seorang lelaki, Dr. V. Sunder selaku Presiden Kelab Harmoni Selangor.
“Mereka telah membawa seorang pengadu bernama Jack Lee yang mewakili saudara beliau untuk memaklumkan kedudukan tawaran perumahan Selangorku.
“Beliau telah diberi maklumbalas pada hari itu, bahawa dokumen sokongan yang diperlukan salinan penyata KWSP sahaja yang belum diterima walaupun tawaran telah dibuat pada 19 Oktober 2017,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Semalam media melaporkan, janji kerajaan PKR Selangor pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyediakan rumah mampu milik dianggap seperti ‘hampas’ apabila lebih 120 pemohon skim itu melahirkan rasa tidak puas hati kerana menganggap mereka ditipu.
Ini kerana dakwa pemohon, sistem serta tatacara pengurusan permohonan skim perumahan tersebut yang dilaksanakan menerusi LPHS dianggap sebagai meragukan kerana ada beberapa kes yang rekod pemohon ‘lesap’ daripada senarai agensi itu.
Menurut jurucakap UKA, selagi dokumen yang diperlukan tidak diterimanya, surat tawaran tidak boleh dikeluarkan.
“Mereka hanya mengemukakan 10 aduan sahaja berbanding 120 aduan yang dinyatakan dalam media. Dalam 10 aduan diterima dan telah disemak serta dimaklumkan pada hari yang sama bahawa dokumen mereka tidak lengkap,” katanya.
UKA menafikan semua rekod pemohon dikatakan hilang, sedangkan semakan dibuat untuk 10 aduan dikemukakan tidak sampai 10 minit telah dimaklumkan kepada pihak berkaitan dan tidak mungkin rekod telah hilang.
Penama Lee Boon Tat pula tidak tersenarai dalam aduan yang dikemukakan untuk semakan. Kita difahamkan, beliau hanya mewakilkan saudaranya dan telah dimaklumkan dokumen lengkap belum dikemukakan.
“Pengarah Eksekutif LPHS sendiri telah berjumpa dengan Nazilah, Dr. V. Sunder dan Jack Lee serta menerangkan proses kerja dan kekurangan dokumen yang diperlukan.
“Pentadbiran ini memohon pihak pengadu mengemukakan 110 dokumen lagi yang dikatakan diterima oleh mereka diserahkan supaya semakan dapat dibuat.
“Kita juga sentiasa memberi kerjasama kepada semua pihak dalam memastikan mereka yang layak memperolehi kediaman Rumah Selangorku dan kenyataan “berkemungkinan wujudnya amalan salah laku atau tadbir urus dalam pengurusan skim perumahan Selangorku” adalah disangkal,” ujarnya. – MalaysiaGazette