KOTA BHARU – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penjawat awam di negara ini lebih patriotik daripada sesetengah pihak tertentu kerana sentiasa setia dan berdiri teguh di belakang kerajaan yang mampu menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.

Najib berkata, tiada pihak lain yang mampu berbuat demikian sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah negara ketika ini.

“Jangan sampai tak bangga jadi rakyat Malaysia. Kalau tak bangga pi lah orang Kedah kata, pi jauh-jauhlah, tak payah (tinggal) di sini. Dia dah kaya, keluarga dah kaya, abang yang ada kereta mewah 23 buah (dan) tersenarai antara orang yang terkaya di Malaysia. Apa lagi dapat kontrak daripada Petronas berbilion-bilion.

“Apa lagi tuan-tuan? Nak marah apa lagi kepada Malaysia? Malaysia ini tempat rezeki kita sebenarnya. Tempat kita lahir, tempat kita dapat rezeki dan Insya-Allah tempat kita disemadikan bila sampai masanya. Inilah Malaysia yang kita bina melalui semangat patriotik,” katanya ketika berucap pada majlis pertemuan bersama penjawat awam persekutuan dan negeri di perkarangan Wisma Persekutuan di sini, hari ini.

Majlis yang dihadiri lebih 10,000 penjawat awam itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Perdana Menteri berharap agar penjawat awam tidak melakukan kesilapan dan dapat berfikir secara waras serta tidak menggadaikan prinsip perjuangan dan moral semata-mata untuk memenuhi kehendak peribadi.

“Janganlah sebab tak dapat kehendak kita, peribahasa sebut, marah pada nyamuk, rumah yang nak dibakar. Rumah ini kerajaanlah, kerajaan selama yang ini kita dapat segala faedah, (yang) selama ini hak itu pun dia nak runtuhkan.

“Kerana apa? Kerana dia tak dapat kehendak tertentu dia. Ini bukan soal peribadi. Ini masa depan kita, masa depan setiap daripada kita, anak cucu kita.

“(Sekarang ini) orang PAS pun dah faham dah, (mereka) diperkudakan oleh pihak tertentu. Ini nak berpaut dengan orang tu, nak peluk dengan orang yang kita sendiri pernah kutuk dan dia kutuk kita. Di mana letaknya prinsip, di mana letaknya pertimbangan kita untuk bangsa, agama dan negara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penjawat awam agar tidak mudah percaya dengan janji manis yang ditaburkan pihak tertentu yang cuba meraih sokongan mereka terutama menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Tuan-tuan penjawat awam tentulah faham bahawa dalam sistem kita, kita tak boleh belanja lebih daripada pendapatan. Ini ada pula dalam cakap-cakap mereka, nak mengecutkan saiz perkhidmatan awam. Ada yang kata hina penjawat awam, kata kucing kuraplah, apalah.. nak kurangkan saiz penjawat awam. Saya nak beritahu kerajaan pimpinan saya tak akan kecutkan saiz perkhidmatan awam.

“Ini pembangkang kata kita nak mansuhkan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan). Mana nak dapat RM44 bilion? Jangan mansuh GST lepas itu cukai lain pula dikenakan. Banyak yang tipu (dengan janji pembangkang),” kata Najib.

Perdana Menteri turut melahirkan keazaman untuk meletakkan Malaysia sebagai antara 20 negara terbaik dan terunggul di dunia jika terus diberi mandat oleh rakyat serta mendapat sokongan padu daripada penjawat awam.

“Tak ada sebab mengapa kita tak boleh sampai, mengisi impian kita. Tapi kita kena melangkah satu ‘jambatan’ dahulu. Bila kita dah melintas jambatan, sudah menyeberang ke sana, (kita boleh bina) kerajaan yang bukan sahaja stabil, malah kuat dan kukuh.

“Tuan-tuan adalah merupakan ‘opinion leaders’ (individu atau pertubuhan terkemuka yang berkemampuan mempengaruhi orang lain) dan sebagai penjawat awam tuan-tuan boleh mempengaruhi orang lain juga,” katanya.

Pada majlis sama, Najib turut mengulangi beberapa kejayaan Malaysia menjalin hubungan baik dengan negara-negara lain seperti Arab Saudi dan Amerika Syarikat sehingga Malaysia terus dipandang tinggi oleh masyarakat dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast