Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menandatangani plak perasmian Himpunan Warga Kota Putera di Kompleks YJN, Bukit Jalil, Kuala Lumpue. foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2017.
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Terengganu berhasrat menghadiahkan lapan kerusi Parlimen di negeri itu termasuk kubu kuat Pas, Marang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, menerusi program Gempur Tawan 4P, pihaknya komited untuk menawan empat Parlimen yang belum dimenangi BN khususnya kerusi milik Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kita akan gempur dan tawan empat Parlimen yang kita belum menang iaitu Parlimen Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Dungun.

“Jadi empat Parlimen ini kita akan gempur untuk memastikan InsyaAllah kita akan hadiahkan lapan Parlimen kepada presiden BN,” katanya pada sidang media selepas Himpunan Warga Kota Putera, Besut Terengganu di Kompleks YJN Bukit OUG, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dan veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yusof Noor.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Abdul Hadi menewaskan calon BN, Datuk Yahya Khatib Mohamad di kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 5,124 undi dan ketika itu parti Islam tersebut masih bersama Pakatan Rakyat.

Abdul Razif berkata, meskipun kemenangan BN Terengganu dengan komposisi 17:15 pada PRU13, namun beliau komited nisbah itu dapat dikembalikan kepada 28:4 semasa gelombang biru pada PRU11.

“Saya rasa tiada masalah walaupun 17:15, kerana kita bekerja berdasarkan kepada gelombang biru dulu, ketika itu Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan juga sebagai peneraju utama

“Akhirnya kita dapat balik 28:4 dan semangat itu sebenarnya telah terserap dalam kalangan jentera BN Terengganu. Kalau dulu 4:28 kita (Pas:BN) balik kepada 28:4, jadi 17:15 ini saya fikir mungkin tak mustahil 32:0

“InsyAllah kita menuju ke arah itu,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast