Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mahadi Che Ngah bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) My City Brain bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di Connexion Conference Event Centre, Bangsar South, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal memasang pemisah laluan baharu antara basikal dengan kenderaan lain bagi menggantikan ‘rubber separator’ selewat-lewatnya minggu depan.

Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah berkata langkah itu bagi mengatasi rungutan penunggang motosikal yang mendakwa pemisah laluan sebelum ini mengancam keselamatan mereka.

“Kita akan ganti dengan pemisah baharu yang lebih selamat kepada pengguna jalan raya lain dalam tempoh seminggu lagi. Pemisah baharu ini berbentuk fleksibel dan mempunyai elemen keselamatan.

“Ia mengeluarkan cahaya di waktu malam bagi memberi perhatian kepada pengguna jalan raya untuk melihat laluan basikal ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) My City Brain di The Vertical, Bangsar South hari ini.

Sebelum ini, gambar seorang penunggang motosikal menjadi viral di laman sosial apabila dia terlibat dalam satu kemalangan dan mengalami kecederaan selepas terlanggar pemisah laluan basikal berkenaan.

Walaupun laluan basikal sepanjang 11.9 kilometer yang dicat berwarna biru belum dibuka secara rasmi, namun pengguna motosikal tidak dapat mengelak melaluinya, lebih-lebih pada waktu punca.

Ketika ditanya tentang kos pemasangan pemisah baharu itu, Mahadi bagaimana pun berkata, tiada kos tambahan terlibat kerana ‘rubber separator’ sedia ada akan digunakan sebagai ‘stopper’ di tempat letak kenderaan.

Mahadi berkata lagi, pada masa ini ‘rubber separator’ sedia ada hanya sempat dipasang sepanjang 3 km dari 11.9 km laluan basikal yang menghubungkan ke pusat bandar.

“Mungkin reka bentuk ‘rubber separator’ yang dipasang sebelum ini ada kelemahan kerana rekabentuknya mempunyai lekuk di bahagian tengah,” katanya.

Sementara itu, pihaknya juga akan berbincang dengan Prasarana Malaysia Berhad mengenai cadangan untuk membenarkan pengguna membawa basikal ketika menaiki Transit Aliran Ringan (LRT).

“Biar kami buat laluan (basikal) dulu. Kita mahu yakinkan orang ramai untuk guna basikal dalam bandar terlebih dahulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

Kos laluan basikal RM4 juta bukan RM4 bilion

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast