SHAH ALAM – Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara bertemu seorang perisik warga Amerika Syarikat, lima hari sebelum ditemui mati di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Pegawai Penyiasat ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, 40, berkata perjumpaan itu dilakukan di sebuah pangsapuri di Langkawi pada 9 Feb 2017, namun motif perjumpaan tidak dapat dipastikan.
Pertemuan itu dicadangkan peguam Gooi Soon Seng yang mewakili tertuduh warga Indonesia Siti Aisyah, 26, ketika menyoal balas Wan Azirul Nizam pada perbicaraan hari ke-27 kes Siti Aisyah dan Doan Thi Huong , 29, yang didakwa bersama-sama empat lelaki yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Klia2 pada 9 pagi, 13 Feb tahun lalu.
Menjawab cadangan Gooi, saksi ke-9 itu bersetuju bahawa terdapat pertemuan di antara Kim Chol dengan seorang lelaki, namun polis sehingga kini tidak dapat memastikan identiti lelaki itu, sama ada beliau seorang perisik atau sebaliknya.
Ditanya sama ada lelaki itu masuk ke negara ini pada 6 Feb 2017 iaitu pada hari sama Kim Chol datang ke Malaysia dan pihak polis mengetahui mengenai kehadiran warga Amerika itu, saksi itu menjawab “tidak bersetuju.”- BERNAMA