KUALA LUMPUR – Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan hari ini kecoh susulan tindakan sekumpulan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mengamuk tidak berpuas hati berhubung isu pembahagian kerusi.
Dalam satu klip video dihantar kepada MalaysiaGazette, kelihatan beberapa individu berbaju merah dengan logo PPBM menjerit-jerit tidak berpuas hati semasa dalam dewan konvensyen berlangsung petang tadi dan mereka melaungkan ‘Hidup Mahathir’.
Penganjur majlis terpaksa beberapa kali meminta semua pihak bertenang bagaimanapun tidak diendahkan dan para pengamal media pula diminta untuk naik ke atas pentas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.
Difahamkan, semasa konvensyen itu PH Negeri Sembilan mengumumkan manifesto peringkat negeri dan peruntukan kerusi semasa majlis itu dan PPBM diberikan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi dari 36 kerusi DUN.
Ketakpuashatian berpunca daripada peruntukan kerusi DUN paling sedikit diberikan kepada PPBM berbanding parti lain dalam gabungan itu.
Susulan insiden itu, Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sedang berucap terpaksa memberhentikan ucapannya dan dibawa beredar daripada konvensyen tersebut bimbang sekiranya insiden buruk berlaku. – MalaysiaGazette