Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berucap pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) My City Brain bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 JANUARI 2018.
KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menjadi negara pertama di luar China yang menggunakan platform Kecerdasan Buatan (AI) milik Kumpulan Ali Baba dalam penubuhan Brain City bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di sini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, platform yang menggunakan Ali Baba Cloud dengan keupayaan menganalisa data besar itu mampu menghasilkan ramalan trafik masa nyata dengan teknologi pengenalan video dan imej.

“Platform ini didorong oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan rakan teknologinya, Alibaba Cloud China. Ia telah disesuaikan dan berkembang dari Brain City Hangzhou.

“Brain City Hangzhou telah membantu kerajaan Hangzhou dengan banyak faedah daripada keupayaan sistem lalu lintas automatik, berpusat pada pelarasan pintar lampu isyarat,” katanya berucap pada Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) My City Brain bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di The Vertical, Bangsar South, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood; Datuk Bandaraya Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz; Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah; Naib Presiden Kanan Kumpulan Ali Baba, Simon Hu dan Naib Presiden serta Ketua Saintis Kecerdasan Mesin Kumpulan Ali Baba, Dr Wanli Min.

Beliau berkata, platform Ali Baba Cloud yang diguna pakai di Hangzhou bermula September 2016 itu telah mencatatkan peningkatan 15 peratus dalam aliran dan kelajuan lalu lintas

“Matlamat utama adalah untuk mengelakkan atau mengurangkan kesesakan serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan keselamatan dan kecemasan jalan,” jelasnya.

Tengku Adnan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merupakan pihak berkuasa tempatan pertama yang akan melaksanakan sistem itu yang mana projek konsep (PoC) telah dijalankan sejak 2 Ogos tahun lepas.

Tambahnya, teknologi AI merupakan bidang baharu yang sedang dibangunkan di bawah pelan Ekonomi Digital Malaysia dengan memfokuskan pada Big Data Analytics (BDA), eCommerce dan Internet of Things (IoT).

“Ia menawarkan potensi pertumbuhan besar-besaran. Ia adalah kombinasi Internet of Things (IoT), Big Data dan AI yang akan memberikan manfaat yang paling berkuasa kepada Digital Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast