KUALA LUMPUR- Polis menafikan khabar angin di media-media sosial yang kononnya kereta polis China berada di Malaysia.

Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Asmawati Ahmad berkata, kereta-kereta tersebut hanya digunakan dalam pengambaran sebuah filem.

“Polis telah mengenal pasti posting yang telah dimuat naik di Facebook.

“Pengguna tersebut menggunakan gambar profil dan nama seorang bekas pemimpin negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Posting yang memuatkan sekeping gambar dua buah kereta polis buatan Malaysia menggunakan tulisan Cina itu turut mempersoalkan keistimewaan yang diberikan kepada China oleh kerajaan selain turut mempertikaikan agenda Kementerian Dalam Negeri.

SAC Asmawati berkata, dua kereta polis China itu digunakan oleh sebuah syarikat penerbitan untuk pengambaran filem bertajuk The Original Sin di Putrajaya.

Jelasnya, filem tersebut menceritakan mengenai kehidupan seorang anggota polis di sebuah bandar rekaan yang dikenali sebagai Han City.

“Kami mengambil serius dakwaan yang dibuat di media sosial kerana mereka menunjukkan niat untuk menggambarkan persepsi negatif kepada agensi kerajaan,” tegasnya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati menggunakan media sosial dan mengelakkan diri daripada membuat sebarang komen berbaur fitnah dan tidak memuat naik status-status yang belum disahkan ketulenannya.

“Tindakan menggunakan gambar tokoh ternama sebagai profil akaun media sosial bagi mempromosikan agenda masing-masing adalah satu tindakan tidak bijak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette