KUALA LUMPUR – Ramai orang Malaysia pergi berjihad di luar negara tetapi realitinya mereka hanya menjadi penjaga stor, pencuci tandas dan tukang masak sahaja.
Itu pendedahan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khass Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
“Banyak orang kita kata nak pergi berjihad tetapi realitinya bila sampai wilayah yang dimaksudkan, mereka hanya berbunuh antara sesama Islam. Ada yang dijanjikan untuk berjuang di barisan hadapan, tetapi rupanya hanya diminta jaga stor, cuci tandas dan tukang masak.
“Akhirnya mereka sedar, dengar lain tetapi bila sampai benda jadi lain. Nak balik semula ke Malaysia dah jadi payah,” katanya dipetik dari siri pertama temubualnya dengan http://theRakyat.com hari ini.
Mengambil contoh di Syria, Ayob Khan berkata, ada 95 orang rakyat kita pergi ke sana ‘untuk berjuang’.
“Yang balik ada lapan orang. Macam-macam sebablah kenapa mereka balik. Antaranya kata sebab nak dapatkan rawatan, ada yang kata mereka disuruh buat benda lain, bukannya berjuang, ada yang balik untuk melancarkan serangan kat sini.
“Di Syria sendiri ada dekat 70 lebih kumpulan, mana satu yang berjihad ni? Dulu yang pergi ke Syria dipimpin oleh Ustaz Lutfi Arifin, dia dulu menyertai Free Syrian Army, bila dia terbunuh, yang ikut dia tu semua pergi join Daesh pula.
“Saya tak kata semua kumpulan yang berjuang di Syria itu pengganas. Memang ada kumpulan yang betul-betul mempertahankan orang Sunni, tetapi yang mana satu? Ramai yang tak pasti. Ramai yang tak jelas. Sebab itu orang kata jangan pergi ke sana sebab ia tempat fitnah. Semuanya dah bercelaru,” katanya lagi.
Setakat ini sudah 34 orang daripada jumlah itu terbunuh di sana.
Ayob Khan juga memaklumkan, rakyat Malaysia yang berjuang di sana mengalami kesukaran kerana sentiasa berpindah randah dan bimbang ditangkap.
“Memang sukar. Dulu pengkalan mereka dekat Raqqa tetapi Raqqa dah jatuh. Sekarang mereka berpengkalan di Abu Kamal, dekat sempada Iraq. Kalau dulu di Raqqa mereka boleh berkomunikasi, internet pun laju tetap sekarang ni makan pun susah, penginapan pun susah. Kena pindah randah bimbang ditangkap.
“Pergerakan mereka semuanya kena ada surat. Kalau rakyat kita berhajat nak balik, dari satu wilayah ke satu wilayah yang mereka lalu itu perlu dapatkan surat kebenaran dari ‘amir’ kawasan itu terlebih dahulu.
“Dulu mereka siap kena naik mahkamah kalau berhajat nak balik. Kebanyakan rakyat kita yang pergi ke sana dah bakar pasport mereka. Nak balik macam mana? Kecuali kalau mereka dapat berhubung dengan keluarga mereka di Malaysia dan keluarga mereka minta bantuan kita, bolehla.
“Contohnya mereka nak keluar melalui Turki, kita bolehlah minta bantuan Turki tetapi mereka kena bergerak sendirilah. Kita memang tak boleh hantar pasukan kita masuk ke Syria kerana keadaan dah tak terkawal di sana. Mereka kena bergerak sendiri sampai ke Iraq ke, Jordan ke, Turki ke, sampai ke negara tersebut barulah kita jemput dan beri dokumen perjalanan kepada mereka.
“Nak pergi senang, nak balik payah. Tak tahulah apa nasib 53 lagi rakyat Malaysia yang ada kat sana. Kanak-kanak pun ada,” katanya.
Menurut Ayob Khan, polis bekerjasama dengan agensi keselamatan yang sama di luar negara memandangkan dalam memerangi keganasan, musuh mereka adalah sama.
“Dalam grup-grup Daesh ni mereka bukan kira dah sama ada awak orang Islam ke, orang Budha ke, orang Kristian ke. Kalau menentang mereka, awak adalah musuh mereka.
“Isu membelakangi Islam tak timbul sebab kumpulan ini bukan mempejuangkan Islam, kumpulan ini memperjuangkan syaitan.
“Mereka anggap darah kita halal, andai kata kita tak bekerjasama dengan agensi perisikan Barat pun, darah kita tetap halal bagi mereka. Kita terlibat dalam pilihanraya, darah kita dianggap halal.
“Kita pergi mengundi, darah kita tetap halal bagi mereka,” katanya.-MalaysiaGazette