BERLIN – Sebuah mahkamah tempatan di Jerman mengeluarkan arahan tiada lagi laungan azan menggunakan pembesar suara ketika solat Jumaat selepas sepasang suami isteri yang bertindak memfailkan saman baru-baru ini.
Reuters melaporkan, walaupun pasangan suami isteri itu yang tinggal hampir satu kilomter dari lokasi masjid di barat laut Jerman namun mereka membuat aduan gangguan berikutan bunyi kuat dari pembesar suara tersebut.
Menurut pasangan Kristian itu, mereka terganggu dengan bunyi laungan itu saban Jumaat dan azan itu dipercayai telah melanggar hak asasi mereka.
Arahan serta merta itu juga menyebabkan masjid tersebut berkemungkinan besar tidak akan lagi dapat melaungan azan ketika solat Jumaat dengan menggunakan pembesar suara.
Dalam pada itu, pegawai kanan masjid itu, Huseyin Turgut berkata, keputusan mahkamah tersebut adalah mengecewakan.
“Azan cuma dilaungkan selama dua minit, kira-kira sekitar pukul 1 petang tetapi hanya pada hari Jumaat. Saya tidak nampak mengapa itu menjadi isu dan memberi gangguan sehingga menyebabkan pasangan itu memfailkan saman kebebasan beragama.
“Kami tidak pernah menerima aduan dan mempunyai jiran yang tinggal lebih dekat iaitu hanya 10 meter sahaja tetapi sehingga kini tidak pernah menerima aduan sedemikian,” ujarnya.
Sentimen dan sokongan anti-Islam untuk dasar anti-imigrasi berkembang di banyak tempat di Jerman setelah kemasukan lebih dari sejuta pendatang dari Iraq, Syria dan negara-negara Islam yang kebanyakannya beragama Islam sejak tahun 2015.- MalaysiaGazette