JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar murka dengan tindakan golongan mat rempit yang terus menjadikan Jalan Pantai Lido di hadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebagai medan lumba haram.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda menerima banyak aduan khususnya daripada pesakit HSA tidak dapat tidur disebabkan bunyi bising enjin motosikal akibat perlumbaan haram yang kerap berlaku terutama pada lewat malam.
Sehubungan itu, baginda mahu pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti itu.
“Berhenti daripada terlibat dalam aktiviti tidak berfaedah ini… fikirkan mengenai ketenteraman awam dan pesakit di hospital yang memerlukan rehat secukupnya,” titah Tuanku Sultan Johor kepada Royal Press Office.
Baginda bertitah, Almarhum anakanda, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil pernah menyebut bahawa dia sukar beradu pada waktu malam semasa menerima rawatan di Wad DiRaja HSA disebabkan bunyi kuat motosikal.
Tuanku Sultan Ibrahim menegaskan, keadaan sama turut dialami oleh menantu baginda, Che’ Puan Khaleeda Bustamam semasa melahirkan kedua-dua anakandanya.
“Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan isteri tidak dapat beradu pada waktu malam disebabkan gangguan bunyi motosikal yang berlumba dari jam 12 tengah malam hingga 3 pagi.
“Saya juga mengalami pengalaman yang sama ketika menerima rawatan di Wad DiRaja HSA,” titah baginda.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, beliau menjunjung titah baginda dan akan mengambil semua tindakan bagi membanteras kegiatan merempit.
“Titah DYMM Tuanku patik juniung dan akan mengambil semua tindakan bagi membanteras kegiatan merempit di Jalan Pantai Lido khasnya di hadapan HSA,” katanya menerusi laman sosial Facebook Polis Johor. – MalaysiaGazette