Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) bersama isteri, Datin Seri Anggraini Sentiyaki (dua kanan) diiringi Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Datuk Mokhtar (dua kiri) ketika hadir pada Kenduri 1 Wilayah Persekutuan Parlimen Bandar Tun Razak di Kem Tentera Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 04 FEBUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membalas jasa anggota tentera dengan perancangan awal untuk membina sebanyak 3,500 unit rumah mampu milik untuk golongan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sebelum ini keutamaan permohonan untuk memiliki Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) hanya kepada mereka yang dilahirkan atau bekerja atau bermastautin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, pembinaan 3,500 unit RUMAWIP ini adalah khusus untuk anggota tentera. Ini sebagai tanda terima kasih kita di atas jasa mereka menjaga keselamatan negara.

“Projek ini akan dilakukan dengan kerjasama Kementerian Pertahanan, yang mana Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sudah bersetuju melalui projek Satu Anggota Satu Rumah,” katanya kepada pemberita selepas majlis Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Bandar Tun Razak di Kem Tentera Sungai Besi, di sini, hari ini.

Menurut Tengku Adnan, pembinaan projek RUMAWIP itu dijangka dimulakan Mac ini dengan keluasan rumah antara 1,000 hingga 1,200 kaki persegi dan dijual pada harga serendah RM150,000 hingga RM250,000 seunit.

Sementara itu, dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada anggota tentera yang banyak berjasa dan berkhidmat menjaga keselamatan negara sejak 60 tahun lalu, bagi membolehkan pelbagai rakyat hidup aman dan harmoni.

Katanya, sebagai membalas jasa mereka, beliau mengumumkan sejumlah peruntukan untuk menyediakan pelbagai kemudahan seperti surau dan dewan serba guna di kem berkenaan.

Beliau juga turut mengumumkan sejumlah peruntukan bagi menaiktaraf taman permainan Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Tentera Darat Kem Sungai Besi, termasuk pembinaan sebuah padang futsal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast