Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR- Belia dalam negara disarankan untuk memberikan idea yang berpotensi bagi menyumbangkan kepada kemajuan negara dan meningkatkan kedudukan negara pada tahun 2050.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, generasi muda tidak perlu takut menyuarakan idea sekalipun ia lain daripada yang lain kerana mereka adalah kunci masa depan negara.

“Anak muda adalah kunci kepada masa depan, jadi jangan malu dan takut sumbangkan idea.Tidak semestinya betul atau salah yang penting ada asas apa yang disampaikan.

“Belia dalam negara yang makmur ini harus keluar dengan idea-idea positif, gila kerana mungkin sehingga pada tahun 2050 kita boleh menjadi antara yang teratas,” katanya ketika berucap pada perasmian Persidangan Kepimpinan dan Aspirasi Nasional (NALS) 2018.

Tambahnya, idea-idea daripada generasi muda yang datang dalam pelbagai aspek adalah bukti amalan demokrasi negara yang sepatutnya dibentuk menerusi pendidikan yang berteraskan menghormati perbezaan di antara satu sama lain.

Justeru jelas Salleh, ia akan menentukan pembentukan Malaysia ke arah kestabilan.

“Malaysia yang stabil adalah yang demokratik, harus berakar umbi budaya politik yang asas. Demokrasi bukan bermakna pilihan raya umum sahaja itu apabila kita memilih pembentukan sesebuah kerajaan.

“Kuncinya bukan perbezaan tapi macam mana kita uruskan perbezaan kita, bukan suatu mudah hanya boleh dilakukan jika akar umbi kuat.

“Kita ada adat berpolitik walaupun berbeza pendapat. Demokrasi bukan monopoli dan kita hentam pendapat yang tidak selari dengan kita,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast