SUNGAI BESI – Dari Nilai di Negeri Sembilan Rizal Durahman Lisi sanggup ke Kem Tentera Sungai Besi hari ini untuk tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan yang dijual pada harga yang amat murah.
Jualan runtuh barangan keperluan yang diinisiatifkan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar hari ini mendapat sambutan cukup baik apabila ramai penduduk sekitar turun padang untuk tidak melepaskan peluang.
Kurang dua jam jualan bermula, ayam mentah yang dijual RM10 seekor habis dan ia disifatkan Rizal Durahman, 32, sebagai usaha yang baik untuk terus mengimbangi kos sara hidup yang ditanggungi rakyat.
“Saya tinggal di Nilai tapi kerja di sini. saya dapat tahu ada jualan hari ini semalam dari kawan. Sebab ramai sangat dan ayam pun murah sampai saya tidak sempat beli ayam, habis dah.
“Bagus, kalau boleh buatlah hari-hari sebab ramai yang memerlukan barang dapat sebab ini semua barang keperluan kan,” kata pelanggan dari Nilai itu kepada MalaysiaGazette.
Menurut Nurul Izati Jaafar, 29, usaha Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak itu sepatutnya menjadi contoh kepada wakil rakyat yang lain dalam mengutamakan kebajikan rakyat walaupun tidak memberikan bantuan kewangan secara langsung.
Selaku isteri tentera yang berkhidmat di situ, tambahnya sudah tentu mereka sekeluarga menantikan jualan sebegini diadakan lagi pada masa akan datang.
“Bagus buat macam ini, menggembirakan kami sebab dapat meringankan lagi belanja bulanan tu.Macam hari ini dengan adanya jualan begini, dapat jimatkan perbelanjaan saya sebulan ni, macam saya telur ni sepapan ni sekarang dijual RM5 sahaja,” tambah beliau.
Menyambut usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Rizalman sanggup memberikan subsidi darinya sendiri sebanyak RM5,000 demi memberikan separuh harga kepada barangan mentah yang dijual hari ini iaitu bawang, ayam, telur dan sayur-sayuran seperti timun, tomato dan kubis.
Beliau juga memaklumkan bahawa jualan runtuh seperti yang diadakan hari ini akan diadakan konsisten dua kali setiap bulan dengan lokasi yang berbeza-beza.
“Setakat ini kita cuba laksanakan program seperti ini dua kali sebulan cuma saya akan pindah-pindah tempat sebab kena berlaku adil juga dengan tempat-tempat lain,” jelas beliau. -MalaysiaGazette